Kumpulan legenda rock tanah air, WINGS, mengesahkan bahawa Konsert Ulang Tahun Ke-40 WINGS akan diteruskan seperti dijadualkan, meskipun dua ahli asal, Black (dram) dan Eddie (bass), telah mengumumkan pengunduran diri mereka baru-baru ini.
Menurut Dato’ Eddy Amir Salim, selaku penganjur dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rumah Produksi Merah (RPM), Konsert WINGS 40: 4 Dekad Terbang Tinggi dijadual berlangsung pada 28 November 2025 di Idea Live Arena, Damansara, tetap diteruskan sebagai tanda penghargaan terhadap empat dekad perjalanan seni kumpulan yang menjadi ikon muzik rock Malaysia sejak tahun 1985.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada Abang Eddie dan Abang Black serta mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan oleh Allah SWT.
Pihak pengurusan menegaskan bahawa semua persiapan berjalan lancar, dan para peminat boleh menjangkakan pengalaman konsert yang epik serta penuh nostalgia.
“Ulang tahun ke-40 ini bukan sekadar persembahan — ia adalah satu penghargaan kepada nama WINGS yang telah menghiburkan peminat selama empat dekad. Kami ingin memastikan setiap penonton membawa pulang kenangan indah bersama lagu-lagu ikonik WINGS. Tambahan pula, jualan tiket kini telah mencecah 90%, dan hanya sekitar 10% baki tiket masih tersedia untuk peminat yang belum membuat pembelian,” jelas Dato’ Eddy lagi, yang juga merupakan penganjur dan penerbit bersama acara tersebut.

