“Tangisan Seorang Pendosa” Tarik Perhatian Dengan Gaya Sinematik Klasik

Penyanyi bersuara merdu, Marsha Milan kembali mencuri perhatian dengan pelancaran muzik video terbaharunya untuk single berjudul Tangisan Seorang Pendosa. Lagu yang sarat dengan tema keinsafan dan pergolakan jiwa ini dipersembahkan dengan visual dramatik hitam putih yang melahirkan suasana melankolik penuh simbolik dan mendalam.

Penggambaran dijalankan di Pulau Pinang dengan bangunan bersejarah sebagai latar utama yang melambangkan memori masa lalu, manakala babak di pelabuhan pula menzahirkan suasana masa hadapan, melengkapkan kesinambungan naratif visual. Menurut pengarah dan penerbit produksi 71 Studios, Izuan Mokhtar, pemilihan lokasi di Pulau Pinang memberi peluang untuk menghasilkan visual yang lebih puitis serta sarat nilai estetika. Kolaborasi beliau bersama Marsha dan pengarah fotografi Mad Nor Kassim membuahkan karya yang berjiwa, dengan setiap elemen disusun rapi untuk menyampaikan kisah emosi yang lebih mendalam daripada sekadar jalan cerita linear.

“Sejak awal lagi, saya dan Marsha sepakat untuk menghasilkan sesuatu yang lebih daripada sekadar muzik video. Kami mahu visual yang puitis, simbolik, dan mampu membuat penonton benar-benar merasai roh lagu Tangisan Seorang Pendosa. Cabaran cuaca, cahaya dan lokasi bersejarah hanya menjadikan pengalaman ini lebih bermakna,” jelas Izuan Mokhtar.

Sepanjang penggambaran, cabaran tidak dapat dielakkan. Rakaman malam di bangunan warisan menuntut kawalan pencahayaan yang teliti, sementara faktor cuaca memaksa krew menghentikan kerja beberapa kali. Babak di pelabuhan pula terpaksa dirakam dalam tempoh singkat untuk menangkap cahaya semula jadi yang sempurna. Antara momen yang paling diingati ialah ketika penggambaran di Raffles Lighthouse, apabila Marsha terpaksa mengatasi ketakutan terhadap ketinggian. Walaupun gugup, beliau tetap menyampaikan nyanyian penuh emosi yang meresap ke jiwa.

Keseluruhan muzik video diperkaya dengan elemen hitam putih yang memberi nuansa abadi, gaya serba hitam Marsha yang menambahkan aura misteri dan drama, serta peralihan lokasi yang melambangkan perjalanan antara masa lalu dan masa depan. Bagi Marsha, Tangisan Seorang Pendosa bukan sekadar muzik video untuk ditonton, tetapi sebuah pengalaman emosi yang menghubungkan penonton dengan roh sebenar lagunya. “Bagi saya, Tangisan Seorang Pendosa bukan sekadar sebuah karya, tetapi perjalanan yang sangat dekat dengan hati saya. Ada babak yang sukar kerana saya sendiri perlu melawan ketakutan, tetapi akhirnya semua itu membantu saya menyampaikan rasa lagu ini dengan lebih jujur. Saya berharap penonton juga dapat merasainya,” ujarnya.

Lagu ini turut menjadi runut bunyi (OST) kepada drama popular Keluarga Itu yang mencetus fenomena di TV3, sekaligus menambahkan lagi daya tarikannya. Muzik video Tangisan Seorang Pendosa akan dilancarkan pada hari ini, Jumaat, 10 Oktober 2025 jam 8 malam di saluran YouTube rasmi Alternate Records & Talents.

Untuk perkembangan terkini tentang Alternate Records & Talents, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

Related Post