Tag: #Singer

  • MALAM KONSERT ‘ROCKMANTIC NIGHT’ – JUDIKA & THE GENG’ BAKAL MEMBANJIRI AXIATA ARENA BUKIT JALIL

    MALAM KONSERT ‘ROCKMANTIC NIGHT’ – JUDIKA & THE GENG’ BAKAL MEMBANJIRI AXIATA ARENA BUKIT JALIL

    Malaysia, sudahkah anda bersedia? Saksikan bintang fenomena dari Indonesia yang anda gemari, Judika, bakal memukau dalam konsert yang penuh dinanti-nantikan ‘ROCKMANTIC NIGHT – JUDIKA & THE GANG.’ Ia akan menampilkan barisan artis popular tempatan seperti Haqiem Rusli, Marsha Milan, dan Shila Amzah. Acara ini akan berlangsung pada 21 Oktober 2023, bermula jam 8:00 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil. Ia dihoskan dengan istimewa oleh jenama kosmetik eksklusif dan terkemuka, Alha Alfa, bersama syarikat penganjur acara ternama dari Indonesia, Dua Anak Deo (DAD) Management, dan penganjur bersama, Kharisma Music International. Sediakan diri untuk malam yang tidak akan dilupakan!

    Jurucakap DAD, selaku label rakaman muzik dan pengurusan artis yang diasaskan pada tahun 2018 oleh Judika sendiri bersama sang isteri, Duma Riris memberitahu kepada semua, “Persiapan Judika menjelang hari konsert hampir 100% kesemuanya termasuk latihan persembahan bersama para pemuzik profesional dan band iringan, perancang grafik, susunan muzik, dan lain-lain persiapan.

    “Judika tidak sabar untuk memberikan yang terbaik buat semua yang hadir pada malam konsert nanti dan menghasilkan sebuah persembahan romantis yang bakal menjadi kenangan manis buat semua yang menontonnya.

    “Di antara lagu-lagu ‘sing-along’ yang wajib dihafal oleh semua yang membeli tiket adalah Cinta Karna Cinta, Bukan Rayuan Gombal, Jikalau Kau Cinta, Putus Atau Terus dan juga Sampai Kau Jadi Milikku.

    “Dapatkan segera tiket konsert yang masih ada seperti Normal Standing secara atas talian di www.ticket2u.com.my/judika, manakala tiket-tiket lain seperti Gold, Silver, VIP Standing, VIP dan Platinum telah ‘sold-out’.

    Sebagai makluman, pemilik nama sebenar Judika Nalom Abadi Sihotang ini memilih tema ‘Rockmantic’ yang merupakan gabungan perkataan ‘rock’ dan ‘romantic’ yang terinspirasi dari karakter Judika sendiri yang memiliki jiwa rock, namun di satu sisi yang lain pula, merupakan seorang yang penyayang dan pencinta terhadap keluarganya, pasangannya dan sering menghasilkan karya-karya berbaur romantis.

    Dianggarkan sekitar lebih dari 15 buah lagu yang bakal dipersembahkan oleh Judika pada malam konsert nanti dengan durasi kurang lebih 2 jam di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor Indonesia, Tohpati.

    Pihak pengurusan DAD dan Kharimsa Music International ingin mengucapkan ucapan ribuan terima kasih buat rakan-rakan penganjur seperti Alha Alfa, Pavilion Kuala Lumpur dan Pavilion Bukit Jalil, rakan hotel rasmi, Le Meridien Petaling Jaya, dan juga rakan radio rasmi, ERA.

    Pesan Judika, “Saya ingin semua peminat yang  akan hadir ke konsert saya nanti bukan hanya dapat melihat dan mendengar, tetapi juga dapat merasakan dan tidak akan melupakan. Datanglah dengan jiwa seorang ‘rocker’ yang berani dan penuh semangat tetapi jangan lupa memiliki hati yang penuh cinta kerana dengan cinta membuat kita rasa bersemangat.

    “Semoga konsert ROCKMANTIC NIGHT – JUDIKA & THE GANG ini menjadi salah salah satu pengalaman yang tidak akan anda dilupakan, ‘it’s a night to remember’.

    “Jumpa anda di sana!

     

  • Menggembirakan Peminat: Album Terbaru ‘SITISM DATO’ SRI SITI NURHALIZA’ Bakal Dilancarkan September Ini.

    Menggembirakan Peminat: Album Terbaru ‘SITISM DATO’ SRI SITI NURHALIZA’ Bakal Dilancarkan September Ini.

    Setelah berjaya melancarkan album Sitism yang mengandungi 8 lagu pada bulan Jun yang lalu, kini Dato’ Sri Siti Nurhaliza kembali dengan 4 karya tambahan yang eksklusif dalam edisi deluxe album tersebut. Album deluxe Sitism kini hadir dengan koleksi lengkap 12 lagu yang memukau, dan ia telah resmi dilancarkan di pelbagai platform digital bermula pada 8 September 2023.

    Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan `ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album. Apabila nama Siti dan imbuhan `ism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 beliau.

    Sitism atau Siti-ism bagi menggambarkan Siti Nurhaliza kerana menurut beliau, apabila Siti menyanyi, ciri khas, gaya, kualiti dan suara yang dimiliki penyanyi itu unik serta senang dikenali bahawa itulah Siti Nurhaliza.

    Menurut Siti, 4 buah lagu terbaharu yang dimuatkan di dalam album Sitism bukanlah lagu bonus tetapi telah menjadi antara pilihan terbaik untuk melengkapkan 12 karya walaupun berjarak 2 bulan pelancarannya.

    Ini merupakan salah satu strategi untuk memberikan peluang kepada para peminat, para pencinta muzik, stesen radio dan stesen televisyen menumpukan kepada lagu-lagu dari album Sitism yang dilancarkan pada bulan Jun dan kini beliau dapat menyambung promosi dengan edisi deluxe pula.

    Tambah Siti, album Sitism adalah diri beliau yang tersendiri seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan beliau. Album terbitan Universal Music Sdn.Bhd dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd ini turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal. Pra-tempah album Sitism diadakan selama seminggu bermula 18 Ogos hingga 25 Ogos 2023 lalu di platform snp.onpay.my. Album fizikal ini juga akan turut dijual dikedai pengedar terpilih dalam jumlah terhad.

    4 buah lagu terbaharu dalam edisi deluxe ini adalah Senyawa (Farouk Roman/Senna), Kalau Berkasih (Glowrush & Tam Cobain & Mike Chan), Nadi (Mim Hamzah & Illi Diyana), Kusedari (Dato’ Sri Siti Nurhaliza/Habsah Hassan).

    Istimewanya dalam edisi deluxe ini, Siti telah mengundang penyanyi rock legenda, Dato’ Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih. Ini merupakan penampilan pertama Dato’ Awie merakamkan lagu tradisional dan tentunya gandingan dua penyanyi ternama ini dapat mengangkat muzik tradisional kepada seluruh lapisan masyarakat.

    Selain itu album Sitism memuatkan lagu Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik), Romansa KIta (Sharon Paul/Rozisangdewi), Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King).

    Sitism edisi deluxe sudah boleh didengari di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, KKBOX dan YouTube Music bermula hari ini.

  • ‘KONSERT ALBUM: BERONA DAY RIZKY FEBIAN’ yang dibawakan oleh Hitman Solutions Bakal Memukau Peminat-peminat di Malaysia

    ‘KONSERT ALBUM: BERONA DAY RIZKY FEBIAN’ yang dibawakan oleh Hitman Solutions Bakal Memukau Peminat-peminat di Malaysia

     

    Rizky Febian, penyanyi terkenal dari negara seberang Indonesia bakal mengadakan konsert di Malaysia untuk jelajah konsert album BERONA DAY. Pada 3 November 2023 ini, bertempat di Megastar Arena Kuala Lumpur, pukul 8.30 MALAM, bersedia untuk menyaksikan persembahan yang menggagumkan, An Album Live Concert, Berona Day: Rizky Febian yang dibawakan khas oleh penganjur konsert paling sensasi masa kini, Hitman Solutions.

    “Ini merupakan konsert saya yang kedua seumpamanya di Malaysia dan pernah juga menjadi sebahagian dari sebuah konsert antarabangsa pada Julai tahun ini,” jelas pemilik nama sebenar, Rizky Febian Adriansyah Sutina, 25 tahun.

    Sejak kecil, Rizky sudah pun didedahkan dengan industri hiburan di mana bapanya merupakan artis komedi terbesar Indonesia, kemudian pada tahun 2015, beliau tampil dengan single sulung berjudul ‘Kesempurnaan Cinta’ yang berjaya meloniakkan namanya sebagai salah satu penyanyi ‘papan atas’ Indonesia.

    Terkini, Rizky baharu sahaja melancarkan album keduanya berjudul ‘Berona’ pada 21 Julai lalu, katanya, “Album yang mengandungi 10 lagu baharu hasil kolaborasi 3 pemuzik Indonesia, Gangga, Teddy Adhitya dan Basboi menjadi tujuan utama mengapa konsert ini diadakan kali ini, selain mempromosikan album baharu, dapat juga menyapa peminat-peminat saya di Malaysia.

    “Team dari RFAS Music sudah pun mempersiapkan segala rangka promosi pada September ini, dan juga menjelang malam konsert nanti.

    Bertemakan cinta yang diambil dari album ‘Berona’, konsert, An Album Live Concert, Berona Day: Rizky Febian, bakal berlangsung selama hampir 2 jam dengan 15 buah lagu yang akan dipersembahkan pada malam konsert nanti di mana Rizky akan tampil dengan cara nyanyian yang sedikit berbeza dan lebih dewasa.

    Lebih istimewa, beliau juga bertanggungjawab sebagai pengarah muzik bagi konsertnya sendiri. “Dari segi susunan muzik pula, saya sendiri yang akan menentukannya dengan ‘warna’ baharu yang lebih sesuai dengan usia saya yang semakin matang yang dilatari pemuzik profesional yang diterbangkan dari Indonesia.

                                                                       En Rohit Rampal

    Menurut En. Rohit Rampal, selaku Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, “Rizky mempunyai pengaruh yang kuat dikalangan penggemar muzik tempatan dan beliau merupakan artis muda yang sering menjadi perhatian kerana hasil karyanya yang bermutu. Dengan itu, kami tidak teragak-agak memilih untuk membawa Rizky ke Malaysia bagi mengadakan konsert jelajahnya.

    Kami juga akan teruskan penjelajahan in ke negara singa, pada tahun 2024 sebagai penganjur untuk Berona Day Rizky Febian Singapura. Sebagai promoter konsert, kami ingin setiap konsert itu bermakna buat peminat-peminat, oleh itu, kami memberikan harga tiket yang berpatutan dan mampu beli kepada semua.”

     

    Tiket akan dijual mulai 7 September 2023, jam 12 tengah hari di www.hitmanlive.com dengan tiket kategori – Romansa (Free Standing) RM 179, Terpesona (Normal Seating) RM 199 dan Super Rizfelous (VIP Standing) berharga RM399.

    Terima kasih khas kepada Sinar FM, ERA FM, Gegar FM (rakan radio rasmi), RFAS Music (label rekod rasmi), Sunway Putra Hotel, (rakan hotel rasmi) dan Batik Air (syarikat penerbangan rasmi).

    Sebarang pertanyaan berkenaan konsert An Album Live Concert, Berona Day: Rizky Febian, sila hubungi En. Keeran (Hitman Solutions) di talian 012-887 0669.

  • Keajaiban Festival Kolaborasi Vol. 4: Cakra Khan Bakal Menggegarkan Pentas di Zepp Kuala Lumpur pada 17 September 2023!

    Keajaiban Festival Kolaborasi Vol. 4: Cakra Khan Bakal Menggegarkan Pentas di Zepp Kuala Lumpur pada 17 September 2023!

    Cakra Khan, penyanyi lagu “Harus Terpisah”, semakin menjadi perbualan hangat susulan kemunculan beliau di sesi uji bakat America’s Got Talent (AGT) 2023. Penyanyi yang berasal dari Indonesia itu, terus giat muncul dalam pelbagai platform untuk memantapkan perjalanan kariernya.

    Pada episod uji bakat yang disiarkan pada 18 Julai lalu, Cakra Khan, yang berusia 31 tahun, telah mengagumkan juri dalam program realiti yang terkenal dengan persembahannya. Beliau membawakan lagu “Make It Rain” yang dipopularkan oleh Ed Sheeran dan “No Woman, No Cry” yang asalnya dinyanyikan oleh Bob Marley.

    Kemantapan vokalnya yang unik dan mempunyai karakter tersendiri ketika membawakan kedua-dua lagu ini telah menjadikan penyanyi yang berasal dari Pangandaran, Jawa Barat, berjaya mendapatkan empat “Yes” daripada juri yang hadir.

    Keunikan suara Cakra juga mendapat pujian yang meluas, dengan juri ternama seperti Simon Cowell yang mengakui kagum terhadap bakat luar biasanya. Komen pujian ini bukan sahaja mengakui kehebatan Cakra, tetapi juga membukakan pintu bagi langkahnya ke peringkat persaingan seterusnya. “Pencapaian besar itu, tidak mungkin dicapai tanpa sokongan semua, terutama sekali peminat yang sentiasa mempercayai kemampuan saya”, kata Cakra atau nama sebenarnya, Cakra Konta Paryaman.

    Meskipun ruang untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa semakin luas terbuka, Cakra tidak sesekali melupakan peminat di rantau Nusantara yang sentiasa menjadi tulang belakang kekuatannya.

    Menghargai sokongan yang diberikan, Cakra mengotakan janji dengan kembali ke Kuala Lumpur bagi menyempurnakan konsert, Cakra Khan Live in Kuala Lumpur dalam memenuhi rangka Dream Festival Collaboration Vol. 4.

    Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 September 2023, penyanyi yang memiliki karisma tersendiri itu akan memukau para penggemar dengan penampilan spektakular membawakan himpunan lagu popularnya.

    Konsert itu juga bakal membawa peminat menelusuri perjalanan kerjaya nyanyian Cakra selama lebih sedekad, bermula dengan single perdana, Harus Terpisah yang pantas melonjakkan popularitinya di Indonesia dan Malaysia sejak 2012. Pengarah Projek Dream Festival, Rama Ananda Ambri atau mesra disapa dengan Anda berkata, acara itu menjanjikan hiburan luar biasa menerusi persembahan istimewa Cakra bersama penyanyi undangan khas dari Malaysia.

    “Kemunculan Cakra bersama penyanyi undangan misteri itu bakal menghangatkan lagi siri Dream Festival Collaboration Vol. 4, sekali gus membawa penonton merentasi magis perjalanan hiburan yang tidak terlupakan.

    “Sebagai penyanyi, Cakra dilihat sebagai sosok yang sangat berbakat dan memiliki karisma tersendiri setiap kali beraksi di pentas. Dikenali dengan kehebatan vokal dan aksinya yang penuh energetik, kami yakin kemunculan terbaharu Cakra pasti memberikan kepuasan jitu kepada penggemarnya,” katanya. Tambahnya lagi, profil seni Cakra yang pernah meraih pelbagai penghargaan, selain mengukir nama sebagai antara artis terbaik dalam industri hiburan Nusantara memberi nilai tambah pada acara yang dibawakan Inspire IDN dengan kerjasama Laskar Entertainment itu.

    “Bersama artis undangan yang masih dirahsiakan, kami yakin elemen kejutan itu bakal menambah daya tarikan acara, sekali gus memacu antusiasme penggemar muzik untuk memeriahkan konsert tersebut.

    “Dream Festival Collaboration Vol. 4 dirancang dengan begitu teliti untuk memastikan semua yang hadir terhibur. Kami komited untuk memberikan pengalaman konsert yang tidak terlupakan kepada semua penonton.

    “Acara ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa sokongan penaja rasmi seperti Sari Ratu Prima, Hotbox dan Chatime. Sokongan mereka memberikan sumbangan besar dalam memastikan acara ini sukses,” katanya.

    Tiket menyaksikan Dream Festival Collaboration Vol. 4 – Cakra Khan Live in Kuala Lumpur dijual pada harga RM178 (Kepada Hati), RM198 (Terlanjur Cinta), RM318 (Kekasih Bayangan), RM508 (Tanpa Batas Waktu) dan RM5,880 (Royal Box untuk lapan penonton) boleh diperoleh dengan melayari: www.ticket2u.com bermula 15 Julai 2023.