Tag: #CefMudaMalaysia

  • Tukang Masak Harian Generasi Baharu Kedah Menyerlah di Pertandingan Memasak MSSCC 2025

    Tukang Masak Harian Generasi Baharu Kedah Menyerlah di Pertandingan Memasak MSSCC 2025

    Dari Utara hingga ke ibu negara, bintang kulinari muda dari Kedah telah menyerlah di pentas Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® (MSSCC) Ke-28 dengan membawa keunikan cita rasa serta tradisi Utara ke pentas kebangsaan.

    MSSCC 2025 menghimpunkan para pelajar yang berbakat, guru-guru, dan wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan para juri dari MAGGI® bagi pertandingan memasak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Omar, Alor Setar.

    Tema tahun ini, ‘Ramuan Warisan, Citarasa Negeri’, menyaksikan seramai 866 pelajar berumur 13–17 tahun dari 16 negeri, membayangkan semula hidangan yang digemari dengan sentuhan kreatif. Untuk pertama kalinya, pertandingan ini diperluas untuk menyertakan pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5, yang lebih mengukuhkan komitmen MAGGI® untuk memberikan peluang kepada lebih ramai belia untuk mempelajari asas-asas makanan, dengan tujuan untuk memupuk hubungan yang sihat dengan makanan sambil mempromosikan pemakanan dan masakan yang sihat. Peserta dari Kedah menambat hati pengadil dengan resipi yang berinspirasikan ramuan asli, tradisi serta kaedah memasak warisan, membuktikan bahawa warisan masakan serantau merupakan khazanah yang mencorakkan masa depan landskap makanan Malaysia.

    Sebagai sebahagian daripada kerjasama berterusan MAGGI® dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak 1997, MSSCC telah memperkasa hampir 350,000 pelajar bukan sahaja dengan kemahiran memasak asas, malah melengkapkan pelajar dengan kemahiran hidup seperti kerjasama sepasukan, disiplin dan kreativiti. Di Kedah, para pelajar dari seluruh negeri berkumpul di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Omar, Alor Setar bagi menyertai pertandingan peringkat akhir negeri dan pengalaman ini menjadi lambang ketabahan, kebanggaan terhadap budaya sendiri dan juga perkembangan diri.

    Bukan setakat di dapur, inspirasi untuk tukang masak harian membina kerjaya cemerlang turut dizahirkan.

    Encik Awang Rosnadi Bin Awang Rosli, Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPN) dalam ucapannya berkata, “Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Nestlé Malaysia dan MAGGI® atas komitmen berterusan dalam menjayakan program ini setiap tahun. Usaha ini seiring dengan aspirasi Kementerian Pendidikan untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah turut memiliki kemahiran insaniah yang kukuh.”

    Beliau turut memuji kerjasama yang dijalinkan: “Selain dari menyuntik tabiat masakan sihat dan pemakanan seimbang, MSSCC juga menjadi wadah untuk melatih kemahiran hidup praktikal seperti daya kreatif, semangat bekerjasama, disiplin dan pengurusan masa dalam kalangan generasi muda. Yang lebih penting, ia memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka bakat dan potensi dalam bidang pemakanan, yang semakin diiktiraf sebagai kerjaya bernilai pada masa kini. Sama ada menang atau kalah, pengalaman yang diperoleh melalui MSSCC adalah ilmu berharga untuk masa depan anda.”

    Cik Ivy Tan Link Cheh, Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI® Malaysia dan Singapura berkata, “Menerusi MSSCC, dengan sokongan berterusan dari KPM dan JPN, kami berhasrat untuk memupuk para belia berbakat yang bukan sahaja mahir dari segi praktikal, tetapi juga yakin dan bersemangat untuk terus berkembang, lebih daripada sekadar meraih kemenangan. Ianya bukan sekadar meraikan tukang masak harian, tetapi kami menggalakkan pelajar membina hubungan positif dengan makanan melalui penerokaan dan inovasi secara kreatif dalam menghasilkan sajian yang sihat.”

    Beliau menambah, “Melalui MSSCC, para pelajar turut diberi peluang menghargai dan menghayati warisan mereka melalui makanan. Dari Pantai Timur hingga ke Pantai Barat, para pelajar meraikan warisan mereka, saling belajar, dan bersatu menerusi keenakan makanan. Kami berbangga dapat menyediakan pentas untuk mereka menyerlahkan kreativiti, warisan dan kesungguhan untuk menyediakan makanan yang berkualiti, seimbang dan berasaskan kekayaan budaya masing-masing.”

    Para juri menilai setiap hidangan dengan penuh teliti, memastikan ia mencerminkan pemahaman pelajar tentang keseimbangan dalam masakan serta memperlihatkan daya kreativiti melalui penyediaan dan persembahan yang rapi.

    Di Kedah, juri telah menobatkan Aidil Zikry Bin Mohd Noor Izhham dan Nur Syifa Syadrina Binti Mohamad Azam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri untuk mewakili negeri tersebut ke peringkat akhir. Hidangan kemenangan mereka, Nasi Cubit Cubit dan Ikan Pekasam Sambal Kantan Nenas, mengetengahkan Ikan Pekasam sebagai simbol warisan kulinari Utara. Para finalis lain juga menonjol dengan kreativiti masing-masing, daripada penggunaan hasil tempatan secara mampan sehinggalah menggabungkan resipi turun-temurun keluarga dengan kaedah memasak yang lebih inovatif.

    Aidil Zikry Bin Mohd Noor Izhham dan Nur Syifa Syadrina Binti Mohamad Azam berkongsi, “Kami amat teruja dalam menampilkan inovasi resipi tradisi yang diolah menerusi teknik masakan dalam masa yang sama mengekalkan citarasa asli. Perjalanan kami yang bermula dari persiapan hingga ke hari pertandingan amat bermakna kerana kami berpeluang untuk menyerlahkan bakat individual kami dan juga mengenali para pelajar yang berkongsi minat yang sama. Hidangan kami diinspirasikan daripada konsep ‘Suku, Suku, Separuh’. Ia memberi peluang kepada kami untuk bereksperimen di luar cara tradisional, namun tetap mengekalkan ciri pemakanan yang pantas disediakan, lazat dan seimbang. Kami juga amat berterima kasih atas ilmu dan kemahiran yang dikongsikan oleh guru serta ibu bapa kami, kerana daripada situlah lahirnya semangat kami untuk terus melangkah ke hadapan dan tidak pernah berputus asa.”

    Menambah kata-kata semangat, Muhammad Ammaruddin Bin Jasni dan Aidil Zikry Bin Mohd Noor Izhham, juara MSSCC 2024, berkata, “Kemenangan MSSCC tahun lalu telah membuka begitu banyak peluang untuk kami. Nasihat kami kepada semua cef muda ialah teruslah meneroka dan memahami bagaimana masakan serta pemakanan seimbang menyumbang kepada kesihatan kita, kekal menghidupkan warisan, dan jangan takut untuk berkongsi cerita melalui hidangan anda. Pertandingan ini bukan sekadar memasak, malah tentang meningkatkan potensi, pembelajaran, dan berhubung dengan mereka yang berkongsi rasa cinta terhadap tradisi kulinari Malaysia yang kaya. Teruslah mencabar diri dan percayalah pada potensi anda.”

    Grand Finale MSSCC 2025 akan berlangsung pada bulan Oktober, menghimpunkan 16 pasukan dari peringkat negeri untuk merebut gelaran juara kebangsaan.

    Untuk maklumat lanjut mengenai MAGGI® MSSCC 2025, layari https://www.maggi.my/ms/memupuk-generasi-muda/