Siri HONOR X9 Dinobatkan Telefon Pintar Kelas Pertengahan Paling Laris ASEAN

HONOR dengan bangganya mengumumkan bahawa Siri HONOR X9 telah menerima anugerah berprestij ‘Telefon Pintar Kelas Pertengahan Paling Laris’ daripada ASEAN Records. Pengiktirafan ini menonjolkan kejayaan besar model HONOR X9a, X9b, dan X9c yang berjaya mencatatkan prestasi jualan luar biasa dalam pasaran telefon pintar kelas pertengahan di Malaysia.

Sebagai organisasi serantau yang berwibawa, ASEAN Records meraikan pencapaian yang mencerminkan inovasi, kecemerlangan, serta pengaruh meluas di Asia Tenggara. Penghargaan ini mengukuhkan lagi kedudukan HONOR dalam industri teknologi serantau, sekali gus membuktikan komitmen syarikat terhadap inovasi berterusan dan kepercayaan yang semakin meningkat daripada pengguna di seluruh Malaysia.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Urusan ASEAN Records, Gillian Ooi dan Eldrick Koh, kepada Tan Pei Ling selaku Ketua Jualan Saluran HONOR Malaysia dalam majlis Jerayawara HONOR X9d 5G yang berlangsung di IOI Mall Puchong.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2022, Siri HONOR X9 telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam jualan runcit dan juga secara dalam talian. Siri ini pantas menarik perhatian pengguna kerana kelebihannya dari segi reka bentuk yang kukuh, tahan lasak, serta prestasi tinggi. Ciri-ciri ini menyumbang kepada peningkatan bahagian pasaran yang signifikan, daripada 33 peratus pada tahun 2023 melonjak kepada 56 peratus pada tahun 2025. Statistik ini membuktikan bahawa satu daripada setiap dua telefon pintar kelas pertengahan yang dijual di Malaysia adalah daripada Siri HONOR X9, mengukuhkan lagi dominasi siri ini dalam segmennya.

HONOR X9d 5G yang baharu dilancarkan turut mencatat kejayaan awal apabila habis dijual sepenuhnya semasa tempoh pra-tempahan. Kejayaan ini bukan sahaja melepasi rekod pra-tempahan model terdahulu X9c, malah menandakan permulaan yang kukuh bagi jualan rasmi di seluruh negara.

HONOR X9d 5G kini boleh didapati di kedai-kedai seluruh Malaysia dengan dua pilihan storan. Varian RAM 24GB (termasuk HONOR Turbo RAM 12GB) dengan storan 256GB dijual pada harga RM1,499, manakala varian 512GB pula berharga RM1,699. Setiap pembelian turut disertakan dengan pakej hadiah percuma bernilai RM946 yang merangkumi jam tangan pintar HONOR Watch 2i, Perlindungan Retak Hadapan dan Belakang selama 365 hari, Jaminan Lanjutan 1 Tahun, serta Jaminan Perlindungan Kerosakan Cecair 1 Tahun.

Related Post