Shiha Zikir, penyanyi yang dikenali dengan kemampuan vokalnya yang luar biasa, kini kembali dengan sebuah karya terbaru berjudul Pelangi Kelabu. Lagu ini menyajikan melodi pop balada yang memikat hati, dilengkapi dengan lirik yang penuh emosi, memberikan pengalaman muzik yang mendalam kepada pendengar. Lebih menarik, Pelangi Kelabu juga menjadi lagu runut bunyi untuk drama Marina, yang boleh disaksikan eksklusif di aplikasi Tonton atau laman web Tonton setiap Isnin hingga Khamis.
Pelangi Kelabu menceritakan tentang perjalanan hati yang dilanda kesedihan akibat perpisahan, merungkai perasaan patah hati yang mendalam. Lagu ini menggambarkan pergelutan emosi antara kesedihan yang mendalam dan usaha untuk menerima kenyataan, sekaligus mencari kekuatan untuk terus bertahan. Melalui metafora hujan dan air, lagu ini menggambarkan kedalaman kesedihan, kerinduan yang menusuk jiwa, dan kefanaan cinta yang sering kali datang dan pergi.
Pada bahagian korus, protagonis dalam lagu ini mencari perlindungan di bawah langit yang mendung, menahan tangisan yang tidak dapat diluahkan sambil merindui cinta yang sudah tiada. Pelangi Kelabu membawa simbolisme pelangi yang semakin pudar, seiring dengan kekecewaan yang merundung hati. Namun, seperti hujan yang reda dan pelangi yang akhirnya muncul semula, lagu ini memberi harapan bahawa walaupun kesedihan menghampiri, kebahagiaan akan kembali selepas badai mereda.
Shiha Zikir berkongsi perasaannya tentang lagu ini dengan penuh rasa syukur. “Kali pertama saya mendengar demo lagu ini, saya begitu teruja kerana ia memiliki elemen menyentuh hati yang sangat sesuai dengan tema drama yang sedang trending. Proses rakamannya juga sangat lancar dan mengambil masa hanya 3 jam berkat kerjasama yang hebat dengan John Jeeves,” katanya.
Bercerita lebih lanjut mengenai cabaran dalam menghasilkan lagu ini, Shiha menjelaskan, “Cabaran terbesar adalah untuk memasuki mood lagu ini dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Saya perlu meletakkan diri saya dalam setiap lirik dan membayangkan kesakitan yang digambarkan untuk menyampaikan lagu ini dengan lebih jujur. Saya berharap Pelangi Kelabu dapat memberi kesan mendalam kepada pendengar, dan mereka akan merasai bahawa mereka tidak bersendirian dalam melalui kekecewaan ini.”
Dicipta oleh John Jeeves, Iqie Hugh, dan Omar K, lagu ini tercetus daripada gambaran tentang kesedihan yang mengaburkan kebahagiaan. Walaupun pelangi seharusnya berwarna-warni, dalam lagu ini, ia digambarkan sebagai pelangi kelabu, simbol bagi perasaan yang pudar dan suram. John Jeeves memuji kebolehan Shiha Zikir dalam menyampaikan ekspresi yang berbeza melalui nyanyian, mengatakan bahawa kerjasama mereka sangat memuaskan kerana Shiha datang ke studio dengan persediaan yang matang dan idea-idea kreatif yang bernas.
Menurut John Jeeves, Pelangi Kelabu adalah lagu yang perlu didengar kerana gabungan lirik yang penuh perasaan, melodi yang menarik, serta penyampaian Shiha yang begitu asli dan menyentuh hati. “Kami berharap lagu ini akan memberi impak yang mendalam kepada pendengar dan membuka dimensi baru bagi Shiha Zikir dalam dunia seni. Penghayatan beliau sangat mengesankan, dan kami amat teruja untuk berkongsi karya ini dengan peminat muzik tanah air,” tambahnya.
Pelangi Kelabu kini boleh didengari melalui platform penstriman digital seperti iTunes, Spotify, dan YouTube Music. Bagi peminat muzik, ini adalah peluang untuk menikmati karya baru yang penuh dengan emosi dan pengalaman yang boleh dirasai dalam setiap detik lagu.
Untuk mendapatkan kemas kini terkini tentang projek-projek terkini dan perkembangan terbaru dari Alternate Records & Talents, anda boleh mengikuti mereka di media sosial melalui Facebook, Instagram (@alternate.my_), dan TikTok (@alternate.rt_).