Scents of Malaysia 2024: Melonjakkan Industri Wangian Tempatan ke Pentas Global

Majlis pelancaran Scents of Malaysia 2024 (SOM2024) berlangsung dengan penuh gemilang di Tanjung Lounge, Riverside Cafe, World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL).

Scents of Malaysia 2024 yang dianjurkan oleh LTEO Solution ini menarik perhatian pelbagai pihak dalam industri wangian, termasuk penggiat tempatan, jenama-jenama mewah, serta rakan media dan blogger.

Kehadiran ramai peminat wangian turut memeriahkan majlis ini, menjadikannya satu acara yang dinanti-nantikan, serta memberi peluang kepada jenama tempatan untuk mempamerkan produk berkualiti tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Scents of Malaysia 2024 (SOM2024) dijangka menjadi satu platform utama bagi industri wangian tempatan, menghimpunkan pelbagai jenama tempatan di bawah satu bumbung.

Produk yang dipamerkan merangkumi pelbagai kategori seperti penyegar udara, semburan hijab, lilin beraroma, dan minyak aromaterapi.

Acara ini membolehkan pengunjung meneroka keunikan haruman tempatan dalam suasana yang elegan dan eksklusif.

Dengan tarikan meluas produk-produk ini, SOM2024 turut membuka ruang kepada jenama tempatan untuk melancarkan produk baharu mereka, sekaligus meningkatkan pengaruh mereka di pasaran domestik dan antarabangsa.

Dalam ucapannya, Eddy Farah Mokhtar, Pengarah LTEO Solution, menekankan bahawa SOM2024  adalah peluang terbaik untuk memperkasakan jenama wangian tempatan.

“Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada usaha ini yang membawa produk tempatan ke pentas dunia.

SOM2024 adalah bukti bahawa industri wangian Malaysia mampu menandingi jenama antarabangsa dengan kualiti dan keunikan tersendiri,” katanya. Beliau juga menyatakan bahawa acara ini bertujuan untuk memperkenalkan lebih banyak usahawan tempatan dalam industri wangian, sekali gus membantu mereka melebarkan sayap di pasaran global.

Selain itu, Mohd Fairus Mokhtar, juga Pengarah LTEO Solution, menyatakan keyakinannya terhadap kejayaan SOM2024 dengan sokongan kuat dari Tourism Malaysia dan WTCKL.

“Dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak, kami yakin SOM2024 bukan sahaja akan mempromosikan jenama tempatan, tetapi juga berperanan penting dalam memajukan industri wangian di Malaysia. Ini selaras dengan usaha kami untuk membantu Tourism Malaysia mempromosikan produk tempatan melalui slogan ‘Malaysia Truly Asia’,” ujar Fairus.

Majlis pelancaran ini turut menyaksikan sesi penghargaan kepada jenama-jenama yang telah banyak menyumbang kepada industri wangian tempatan.

Acara SOM2024 yang bakal diadakan pada 26 dan 27 Oktober 2024 di Legar Putra, WTCKL dijangka menarik minat ramai pengunjung, terutamanya pencinta wangian.

Selain pameran dan pelancaran produk baharu, acara ini juga menyediakan platform eksklusif untuk jenama-jenama tempatan memperkenalkan produk mereka kepada khalayak yang lebih luas.

Dengan pelbagai aktiviti menarik yang dirancang, SOM2024 bukan sekadar pameran, tetapi juga satu festival haruman yang akan menyemarakkan lagi industri wangian tempatan di persada dunia.

Untuk maklumat lanjut mengenai Scents of Malaysia 2024, pengunjung boleh mengikuti akaun rasmi media sosial acara ini di Facebook, Instagram, dan TikTok @ScentsOfMalaysia2024.

Acara ini diharapkan mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri wangian di Malaysia, sekaligus memperkenalkan produk tempatan kepada lebih ramai pengguna di peringkat global.

SOM2024 akan menjadi satu titik tolak penting bagi industri wangian tempatan, membuktikan bahawa produk Malaysia mampu bersaing di pasaran antarabangsa dengan keunikan tersendiri.

Leave a Comment