54a scaled

Dalam masyarakat yang masih bergelut antara realiti kehidupan harian dan kepercayaan terhadap dunia mistik, hadir sebuah karya yang mampu menggugat nurani iaitu Qifarah, sebuah filem seram misteri yang menyelami sisi paling gelap hubungan manusia. Mengangkat tema pengkhianatan dan pembalasan, kisah ini membawa mesej bahawa setiap perbuatan ada balasannya. Filem ini dijangka mencetuskan pelbagai reaksi apabila mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 9 Oktober 2025.

Diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, Qifarah menolak formula seram biasa dengan membawa penonton menyelami naratif berat tentang dosa tersembunyi dan kepercayaan terhadap ilmu hitam yang sering dijadikan jalan singkat bagi mereka yang dikuasai emosi dan nafsu.

Kisahnya berpusat pada watak Yusoff, lakonan Remy Ishak, yang pulang ke tanah air selepas bertahun menetap di luar negara. Hasratnya untuk menziarahi ayahnya Ghazali (lakonan Esma Daniel) yang sedang sakit tanpa disangka membuka semula luka lama. Kisah kecurangan ayahnya terhadap ibunya Nur (lakonan Vanidah Imran) melalui perkahwinan dengan Mawar (lakonan Sharifah Sakinah), seorang wanita yang dikaitkan dengan ilmu hitam, mula terbongkar sedikit demi sedikit.

54

Ketenangan yang diharapkan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila Yusoff mula diganggu dengan pelbagai kejadian aneh. Setiap rahsia yang terbuka menjadikan dirinya semakin hampir kepada kebenaran yang menakutkan.

Filem ini cukup dekat dengan masyarakat kerana kisah kecurangan, perebutan pasangan, dan penggunaan kuasa gelap bukanlah perkara asing. Qifarah muncul sebagai peringatan bahawa tindakan yang melawan fitrah dan agama pasti membawa balasan, malah mampu memakan diri sendiri.

Walaupun berteraskan fiksyen, Qifarah berani mengangkat isu sebenar yang masih wujud dalam masyarakat. Ia bukan sekadar hiburan seram, tetapi juga sebuah renungan tentang harga yang harus dibayar atas kesilapan dan dosa.

Saksikan Qifarah, sebuah filem seram penuh pedoman yang bakal menghantui pawagam seluruh negara mulai 9 Oktober 2025.

Related Post