PPIM Bidas Tindakan ‘Muslim Friendly Watch’ Keluarkan Sijil ‘Muslim Choice’ yang Didakwa Mengelirukan

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah keras tindakan pihak Muslim Friendly Watch yang mengeluarkan perakuan bertanda ‘Muslim Choice’ kepada para peniaga, yang seolah-olah bertindak sebagai sijil Halal rasmi. Menurut PPIM, tindakan tersebut jelas mengelirukan pengguna dan bercanggah dengan peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011, yang menetapkan bahawa hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) diberi kuasa untuk mengeluarkan pensijilan Halal di negara ini. Mana-mana pihak lain yang mengeluarkan sebarang bentuk label, tanda, atau logo yang menyerupai sijil Halal dianggap melanggar undang-undang.

PPIM menegaskan bahawa kegiatan ini berisiko besar menghakis kepercayaan serta keyakinan pengguna Islam terhadap sistem pensijilan Halal Malaysia, selain berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna, peniaga, dan juga badan-badan pensijilan antarabangsa yang selama ini mengiktiraf JAKIM sebagai satu-satunya autoriti Halal sah di Malaysia.

PPIM turut menekankan bahawa isu Halal bukan sekadar urusan komersial, tetapi menyentuh aspek akidah dan kepercayaan umat Islam, dan sebarang usaha untuk memperdagangkan isu ini perlu dihentikan segera. Justeru, PPIM menggesa agar Muslim Friendly Watch segera menghentikan semua kegiatan pengeluaran sijil ‘Muslim Choice’, pihak berkuasa di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran ini, dan pengguna Islam supaya hanya mempercayai Logo Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM atau MAIN.

PPIM menyeru semua pihak untuk bersatu mempertahankan integriti dan kredibiliti pensijilan Halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, agar tiada pihak sewenang-wenangnya mempermainkan isu yang menjadi asas penting dalam kehidupan umat Islam.

Related Post