Blog

  • Kolaborasi Dinda Dania, Faiz Ruzayn & YBJ Dalam ‘Aku, Kau dan Bintang’

    Kolaborasi Dinda Dania, Faiz Ruzayn & YBJ Dalam ‘Aku, Kau dan Bintang’

    Dinda Dania, penyanyi berbakat besar yang bernaung di bawah Rocketfuel Entertainment, baru sahaja melancarkan lagu terbarunya bertajuk “Aku, Kau dan Bintang”. Lagu ini merupakan kolaborasi istimewa bersama dua bakat baru yang sedang meningkat naik, Faiz Ruzayn dan YBJ.

    Lagu “Aku, Kau dan Bintang” menceritakan kisah seorang lelaki yang pertama kali jatuh cinta. Dia berharap hubungan dengan kekasihnya akan kekal abadi, dan mereka menjadikan bintang di langit sebagai simbol kesetiaan dan keindahan cinta mereka. Malangnya, hubungan mereka tidak direstui dan mereka terpaksa berpisah. Namun, langit dan bintang menjadi lambang kenangan indah bahawa mereka pernah bersama.

    “Istimewanya lagu ini, pertama kali saya (Dinda) perlu merap. Semua orang ingin melihat saya mempunyai lagu rap sendiri, jadi saya harap peminat akan menyukai lagu ini,” kata Dinda mengenai keistimewaan lagu ini. Selain itu, Dinda juga merasa kolaborasi bersama Faiz Ruzayn dan YBJ menjadikan lagu ini lebih menarik dan wajib didengarkan oleh setiap pendengar.

    Lirik dan gubahan lagu ini adalah hasil sentuhan Faiz Ruzayn dan YBJ sendiri. “Inspirasi lagu ini datang ketika saya (Faiz) duduk bersendirian dalam keadaan kecewa. Untuk mengubat kekecewaan itu, saya menunggang motosikal ke Bukit Ampang untuk melihat bintang dan mencari ketenangan,” cerita Faiz Ruzayn tentang bagaimana ilham untuk menulis lagu ini tercetus.

    Tambah Faiz lagi, selepas bertemu YBJ dan menceritakan tentang lagu ini, mereka bersama-sama mencipta melodi. Hasilnya, dalam masa empat jam, terhasillah lagu “Aku, Kau dan Bintang”. Proses rakaman bersama Dinda Dania pula mengambil masa dua hari di studio rakaman dan semuanya berjalan dengan lancar.

    “Proses merakam lagu ini agak mencabar untuk saya kerana ini kali pertama saya merakam lagu rap untuk lagu sendiri,” ujar Dinda mengenai cabaran yang dihadapinya. “Selalunya saya hanya menyanyikan lagu rap secara live sebagai cover lagu orang, jadi kali ini agak berbeza bagi saya,” tambah Dinda lagi.

    Sepanjang proses rakaman, Dinda Dania, Faiz Ruzayn, dan YBJ sentiasa bertukar pandangan dan mencurahkan idea masing-masing. Meskipun mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan gaya dan penyampaian yang sesuai, hasilnya sangat baik dan mempunyai keunikan tersendiri.

    Menurut Ketua Muzik & Kandungan Rocketfuel Entertainment, Syakireen Othman, pihak Rocketfuel percaya bahawa penampilan terbaru Dinda dengan lagu bergenre sebegini akan mendekatkan lagi dirinya dengan peminat yang sentiasa mengikuti perkembangannya.

    Tambahan pula, lagu “Aku, Kau dan Bintang” akan menjadi runut bunyi (OST) bagi sebuah drama bersiri terbaru yang dibintangi oleh Mierul Aiman dan finalis Dewi Remaja 2024, Arabella Ellen. Lagu ini dijangka akan menambah elemen emosi dan mendalam kepada drama tersebut, menjadikannya lebih berkesan kepada penonton.

    Anda boleh terus strim terus lagu Aku, Kau & Bintang versi Dinda Dania di semua digital platform seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube dan YouTube Music serta berpeluang menghasilkan kandungan video pada TikTok dan Instagram Reels menggunakan lagu ini.

    Manakala, video muzik rasmi lagu ini akan dilancarkan melalui saluran YouTube Recketfuel Entertainment tidak lama lagi.

    Tajuk Lagu: Aku Kau & Bintang versi Dinda Dania

    Penyanyi: Dinda Dania, Faiz Ruzayn, YBJ

    Penulis Lirik: Faiz Ruzaini & Jeffrey Affandy

    Komposer: Faiz Ruzaini & Jeffrey Affandy

    Producer: BABYF4CE

  • Magnum Rai Kerjasama dengan KLFW: Peragaan Inspirasi Aiskrim Bersama SHALS dan Tact

    Magnum Rai Kerjasama dengan KLFW: Peragaan Inspirasi Aiskrim Bersama SHALS dan Tact

    Jenama aiskrim terkenal, Magnum, meraikan kolaborasi pertamanya dengan Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) dengan mempamerkan hasil karya daripada dua jenama tempatan, SHALS dan Tact, yang terinspirasi oleh kelazatan aiskrim Magnum. Ini menyatukan kesenangan dengan fesyen secara sempurna.

    Penampilan perdana Magnum di pentas peragaan melambangkan perayaan kreativiti, keanggunan, dan pencarian kenikmatan sejati. Kolaborasi dengan pereka tempatan SHALS dan Tact menyerlahkan gabungan yang sempurna antara glamor dan kemewahan, selaras dengan semangat Magnum untuk mencipta pengalaman yang unggul.

    “Di Magnum, kami sentiasa berusaha untuk memberikan pengalaman sensasi yang melampaui batas untuk menawarkan kenikmatan sebenar. Kami sangat teruja untuk mempersembahkan kerjasama pertama kami dengan KLFW kepada para pencari kenikmatan di Malaysia. Pertemuan antara Magnum dan fesyen ini adalah gabungan sempurna antara kenikmatan dan gaya,” kata Pengurus Jenama Ais Krim Magnum Malaysia, Leow Chi Shen.

    “Bagi kami, kolaborasi ini adalah satu perjalanan penuh semangat dan inovasi,” kongsi Pengasas SHALS, Shalma Ainaa, yang terkenal dengan rekaannya yang selesa, anggun, dan bergaya. “Mengintegrasikan semangat Magnum ke dalam fesyen adalah pengalaman yang sangat mengujakan kerana ia mendorong kami untuk meneroka dimensi baru yang mengangkat gaya dan kenikmatan”.

    Pengasas Tact, Ridduan Ttfga Ismail, yang terkenal dengan pendekatannya yang minimalis, turut berkongsi sentimen yang sama. “Dedikasi Magnum terhadap kenikmatan sejajar dengan falsafah reka bentuk kami. Saya amat berbesar hati untuk menterjemahkan semangat jenama itu ke dalam fesyen,” kata beliau.

    “Kerjasama ini mewakili kreativiti dan kemewahan, dan saya berbangga untuk mempersembahkan inovasi terunggul ini dalam semangat fesyen dan kenikmatan. Kami di KLFW sentiasa meraikan kreativiti dan kesenian. Kini, kami teruja untuk menyampaikan pengalaman deria yang unik kepada penonton kami, dengan menggabungkan dunia fesyen dan kemewahan,” kata Pengasas Kuala Lumpur Fashion Week, Andrew Tan.

    Kolaborasi dengan KLFW ini juga menandakan pencapaian penting bagi Magnum. Ia bukan hanya menegaskan komitmen jenama itu terhadap pengalaman premium dan kualiti, tetapi juga dedikasi berterusan untuk menginspirasikan kreativiti dan keseronokan dalam setiap pengalaman, disemarakkan oleh semangat “True to Pleasure”.

    Untuk memeriahkan lagi acara ini, Magnum memperkenalkan perisa baharu, Magnum Mango Yoghurt Parfait, yang akan tiba di Malaysia tidak lama lagi. Menggabungkan tekstur yogurt yang berkrim dengan kemanisan tropika mangga, ia menawarkan pengalaman mewah yang menggembirakan dan mengasyikkan.

    Dengan kolaborasi ini, Magnum bukan sahaja memperluas sayapnya dalam dunia fesyen tetapi juga mengukuhkan posisinya sebagai jenama yang sinonim dengan kemewahan dan kenikmatan, mempersembahkan satu lagi dimensi menarik kepada penggemar fesyen dan pencinta aiskrim.

  • Spider Terus Kekal Relevan dengan Single ‘Keluar Sarang’

    Spider Terus Kekal Relevan dengan Single ‘Keluar Sarang’

    Untuk terus kekal relevan dalam dunia muzik Malaysia, kumpulan rock evergreen Spider, yang telah memikat hati peminat sejak album pertama mereka, Ngam Ho (1999) dengan lagu-lagu hit seperti “Relaku Pujuk” dan “Aladin”, kini memperkenalkan single terbaru mereka berjudul “Keluar Sarang“.

    Lagu “Keluar Sarang” adalah hasil ciptaan Tam dengan lirik oleh Keon, dan merupakan taruhan Spider untuk bersaing dalam era muzik moden. Selepas merilis album ke-6 mereka, “Ankabut”, pada tahun 2016, Spider kini menampilkan elemen bunyian elektronik dalam single terbaru ini untuk mengikuti perkembangan muzik masa kini. Lagu ini dihasilkan dan disusun sepenuhnya oleh Spider, yang dianggotai oleh Tam (vokalis/gitar), Aie (dram), Pown (gitar), dan Is (bass).

    Nafie, gitaris kumpulan yang juga turut menyumbang dalam rakaman lagu ini, terpaksa direhatkan daripada aktiviti kumpulan akibat masalah kesihatan. Beliau baru-baru ini telah dikejarkan ke hospital kerana serangan strok dan menjalani pembedahan di otak, tetapi masih menyumbang dalam rakaman muzik bersama Tam dan Pown.

    Menurut Spider, single “Keluar Sarang” diilhami oleh Konsert Solo mereka yang bertajuk sama. Lagu ini akan menjadi salah satu daripada trek dalam album kompilasi dan album penuh yang akan datang. Kedua-dua projek ini adalah susulan dari kejayaan Konsert Solo “Keluar Sarang” dan akan diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd dengan kerjasama Sony Music Entertainment.

    Dato M.Nasir, penasihat album terbaru Spider, menjelaskan, “Single ‘Keluar Sarang’ ini adalah pembuka jalan sebelum pelancaran album penuh yang dinantikan. Album terakhir Spider dilancarkan lapan tahun lalu. Kini, Spider sedang giat bekerja di studio untuk menghasilkan lagu-lagu terbaik dan ‘hit’ bagi album baharu ini, dengan harapan dapat terus menyentuh hati para peminat seperti lagu-lagu hit mereka yang lalu.”

    “Keluar Sarang” kini boleh dinikmati di platform YouTube dan semua platform digital lain, dan diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn. Bhd. dan Sony Music Entertainment Malaysia dengan pengedaran digital oleh Sony Music Malaysia.

    Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan evolusi muzik Spider dan menyokong karya terbaru mereka!

    “Keluar sarang, jiwaku kental bagaikan hero.”

    Kredit:

    • Lagu: Keluar Sarang
    • Artis: Spider
    • Komposer: Spider
    • Lirik: Keon
    • Hakcipta: Luncai Emas Sdn Bhd
    • Label Rakaman: Luncai Emas Sdn Bhd
    • Edaran: Sony Music Entertainment Malaysia
    • Dengan Kerjasama: Ifix Entertainment
  • Ara Johari terbang ke Jakarta demi ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’

    Ara Johari terbang ke Jakarta demi ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’

    Penyanyi terkenal Ara Johari yang dikenali dengan nama sebenar Nurfarrah Izzatie Binti Johari, 27, telah melancarkan single terbarunya yang penuh emosi, ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ (MJOL), pada 31 Julai 2024. Lagu balada ini menggambarkan rasa kesedihan dan pengalaman perpisahan yang mendalam, dan telah menarik perhatian ramai sejak debutnya.

    Ara menambah bahawa lirik dan melodi lagu ini sangat resonan dengan pengalamannya sendiri, membuatkan ia lebih istimewa. Ara Johari mengungkapkan bahawa lagu ini sangat bermakna baginya. “Sejak pertama kali mendengar demo lagu ini, saya sudah jatuh cinta. Pada masa itu, saya sedang berdepan dengan kesakitan hati, dan lagu ini seolah-olah menzahirkan perasaan saya yang mendalam,” katanya.

    ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ adalah hasil karya komposer Indonesia, Ilham Baso, yang terkenal dengan lagu-lagu untuk penyanyi terkemuka seperti Judika. Untuk gubahan muzik, Ara bekerjasama dengan Adrian Rahmat Purwanto, penggubah muzik terkenal dari Indonesia yang telah bekerjasama dengan artis seperti Mahalini, Lyodra, dan Keisya Levronka.

    Rakaman lagu ini dijalankan di Bro’s Studio di Jakarta dengan bimbingan vokal dari Bowo Soulmate. “Bekerjasama dengan pemuzik-pemuzik handal dari Indonesia adalah satu pengalaman yang sangat berharga untuk saya. Proses rakaman berjalan dengan sangat lancar dan cepat,” tambah Ara, menyanjung pengalaman berharga dalam perjalanan kerjaya seninya.

    ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ kini boleh didengar di semua platform streaming sejak 31 Julai 2024. Lagu ini diharapkan dapat menyentuh hati pendengar yang mungkin pernah mengalami perasaan serupa. Edaran oleh Universal Music Malaysia ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjaya seni Ara Johari, yang terus memikat hati peminat dengan bakatnya yang luar biasa.

  • Jackie Chan dan Stanley Tong Bersatu Kembali dalam Filem Epik ‘A Legend’

    Jackie Chan dan Stanley Tong Bersatu Kembali dalam Filem Epik ‘A Legend’

    Bintang legenda Hong Kong, Jackie Chan, yang terkenal dengan aksi dan seni bela diri memukau, membuktikan dirinya masih kekal relevan pada usia 70 tahun dengan kembali menggegarkan industri perfileman menerusi filem terbaharunya berjudul A Legend.

    Sekuel kepada filem The Myth yang diterbitkan pada 2005 ini bakal memasuki pawagam tempatan tidak lama lagi, menampilkan aksi seni bela diri yang lebih mencabar dan menarik untuk ditonton. Jackie Chan menunjukkan keberanian luar biasa dalam filem ini, menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi peminat aksi.

    Bukan sekadar aksi, A Legend juga menyelitkan unsur pengembaraan dan fantasi yang menjadikan filem ini berpotensi menjadi antara karya terbaik tahun ini. Dengan kelainan yang ditampilkan, A Legend berdiri megah berbanding filem aksi lain.

    Jika dibandingkan dengan karya-karya Jackie Chan yang lain, A Legend menonjolkan sisi berbeza dari aktor tersohor ini yang telah enam dekad memahat nama dalam industri perfileman. Penonton di negara asalnya memuji filem ini, terpesona dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menjadikan wajah Jackie Chan kelihatan lebih muda dan segar.

    Kehangatan filem A Legend terus terasa apabila penonton tempatan menyatakan rasa tidak sabar untuk menontonnya setelah terpukau dengan trailer yang dimuat naik di media sosial.

    Diarah oleh pengarah The Myth, Stanley Tong, A Legend mengisahkan Profesor Fang, lakonan Jackie Chan, seorang pakar arkeologi yang menyedari bahawa tekstur pada artifak yang ditemui oleh pelajarnya semasa ekspedisi Glasier sangat mirip dengan loket jed yang pernah dilihat dalam mimpinya.

    Loket tersebut menghubungkan alam mimpi dengan realiti. Dengan penuh rasa ingin tahu, Profesor Fang mengetuai pasukan penyelidik dalam perjalanan epik ke Kuil Glasier untuk mencari kebenaran di sebalik impiannya. Mereka memulakan pengembaraan hebat bersama-sama, menjelajahi misteri yang mengaburkan batas antara mimpi dan realiti.

    Filem yang berbahasa Kantonis dan Mandarin ini turut dibintangi oleh pelakon handalan lain seperti Lay Zhang, Na Zha, Aarif Lee, Li Chen, Peng Xiaoran, dan Zheng Yecheng, menjadikan filem ini lebih memberi impak dalam pelbagai aspek.

    Ditayangkan secara rasmi di China pada 12 Julai lalu, A Legend telah meraih pelbagai maklum balas positif daripada penonton yang terpukau dengan aksi serta lakonan hebat Jackie Chan. Filem ini dijangka terus mencipta fenomena apabila ditayangkan di pawagam seluruh dunia, membawa nama Jackie Chan dan kehebatannya ke puncak yang baru.