Pelakon terkenal Nora Danish terus mencuri perhatian apabila tampil menawan dengan imej berhijab sejak Julai 2024. Penampilannya yang sopan namun kekal bergaya membuktikan bahawa wanita berhijab juga mampu berfesyen dengan penuh keanggunan dan keyakinan. Dalam kempen terbaharu Amber Oasis 2.0: Mirage, jenama fesyen Amber meraikan pesona wanita moden melalui koleksi yang menggabungkan keindahan padang pasir dengan sentuhan moden yang sofistikated. Diilhamkan daripada kelembutan alunan pasir dan misteri miraj, setiap helaian dalam koleksi ini menyerlahkan keanggunan semula jadi serta femininiti yang lembut.

Menurut Datuk Adzliana Hasan, Pemilik Amber merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, koleksi Mirage bukan sekadar memperkenalkan rekaan baharu tetapi membawa mesej bahawa setiap wanita berhak untuk tampil anggun dan yakin dengan gaya tersendiri. “Amber Oasis 2.0: Mirage adalah lambang wanita moden yang berani, lembut dan penuh karakter. Kami mahu wanita berasa selesa tanpa berkompromi dengan nilai kesopanan,” katanya sambil menjelaskan bahawa fabrik yang digunakan dipilih dengan teliti agar sesuai dipakai sepanjang hari tanpa rasa panas atau melekat di badan. Nama Mirage sendiri melambangkan keindahan ilusi — pesona wanita yang penuh rahsia dan daya tarikan tersendiri.
Koleksi ini hadir dengan tiga pilihan utama iaitu BELLA (RM389) menggunakan fabrik Shimmering Voile dengan rekaan dua helai dalam tona bumi seperti Oud Brown, Rose Gold dan Tilbury Teal; LAILA (RM269) berfabrik Armane Satin dengan potongan moden dalam warna Magenta, Grey dan Pale Blue; serta MEDINA (RM329) yang menggunakan Shimmering Voile berpotongan flowy dan lengan reben romantik dalam warna Blush Peach, Purplish Gold, Olive Gold dan Burnt Orange.


Sementara itu, Nora Danish yang menjadi wajah utama kempen ini mengakui bangga dapat mewakili jenama yang meraikan keindahan wanita berhijab tanpa meninggalkan elemen fesyen. “Saya percaya berhijab bukan penghalang untuk tampil bergaya. Apa yang penting ialah keselesaan dan keaslian diri. Koleksi Mirage ini dekat di hati saya kerana ia memadukan kesederhanaan dengan keanggunan moden,” ujarnya. Pelancaran Amber Oasis 2.0: Mirage – A Secret by The Desert menandakan kesinambungan kejayaan Amber dalam memperkukuh kedudukannya sebagai jenama fesyen tempatan yang terus melangkah ke pentas antarabangsa dengan rekaan yang elegan, eksklusif dan bermakna buat setiap wanita.

