The Zikr & Yabang Hidupkan Kembali Legenda. Nazrey Johani, Kembali Bersama & Umum Konsert Julung Kali
Kuala Lumpur: Arena nasyid Malaysia sekali lagi bakal menyaksikan detik bersejarah! Kumpulan legenda The Zikr muncul dengan single terbaru “Mengemis Kasih”, hasil kolaborasi bersama Yabang (bekas vokalis kumpulan Khalifah).
Lebih bermakna, kemunculan single ini turut menandakan kembalinya Nazrey Johani– suara emas yang diiktiraf sebagai vokalis nombor satu dalam dunia nasyid moden.
Sejak era 90-an, tiada nama lain yang begitu sinonim dengan identiti, keaslian dan jiwa nasyid selain beliau.
“Mengemis Kasih” – ikon Era 90-an, kini berwajah baharu. Lagu “Mengemis Kasih” bukan sekadar hit, tetapi simbol kebangkitan nasyid era 90-an.
Karya agung nukilan Nazrey bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi kini dirakam semula oleh beliau bersama rakan-rakan lamanya serta dimantapkan lagi dengan penampilan vokal Yabang.
Vokal Nazrey yang mendalam, disatukan dengan alunan harmoni The Zikr dan warna suara ikonik Yabang, menjadikan lagu ini sebuah persembahan penuh penghayatan –sekali gus mengangkatnya ke dimensi baru yang lebih matang, megah dan relevan dengan pendengar masa kini.
Nazrey kini bersama Amran Ibrahim (bekas anggota Raihan) bergabung dengan Syamsul Masri, Meor Ahmad Sahid, Afezan Ponijan, Amin Nordin, Hafiedz Samsuri, Syawal Paino, Suhaimy Raslan dan Rosdi Zahari yang membentuk The Zikr.

“Saya bersyukur dapat tampil kembali dalam industri bersama rakan-rakan lama The Zikr. Lagu ini
diberi susunan muzik baharu supaya lebih segar, penuh harmoni, dengan sentuhan moden.
“Bagaimanapun ia tidak menghilangkan roh ketuhanan yang menjadi teras lagu ini. Selain itu, penampilan istimewa Yabang turut mengindahkan lagi lagu ini,” katanya.
Sementara itu, Syamsul Masri berkata, lagu-lagu The Zikr masih kekal diminati dikalangan peminat sehingga kini terutamanya di Thailand dan Indonesia.
“Lagu Antara 2 Cinta sangat popular di Indonesia. Kita tahu sejak beberapa tahun lalu Nazrey tidak lagi bersama Raihan. Selepas itu saya jumpa dia dan kumpul balik anggota The Zikr.
“Dan akhirnya kami bergabung semula pada 2023. Antara 2023 hingga 2025 kami menghasilkan dua single iaitu Antara 2 Cinta (2024), Dunia Baru Islam (2024) dan satu single baru bertajuk Kembali pada Mei lalu.
“Mengemis Kasih adalah single terbaharu kami. Kita buat balik The Zikr sebab lagu-lagunya orang masih dengar sampai sekarang,” katanya.
“Mengemis Kasih” dilancarkan pada 26 September 2025 melalui saluran YouTube rasmi Rusa Islamic, hasil kerjasama antara Smart Audio Music dan Rusa Islamic.
Nazrey Johani – legenda hidup, suara tiada ganti. Selepas melalui cabaran kesihatan termasuk masalah jantung, Nazrey kini kembali dengan keadaan sihat dan stabil.
Beliau tampil dengan semangat baharu, membawa aura legenda yang tidak mampu ditandingi. Dalam dunia nasyid, Nazrey adalah rujukan utama – suara emas yang membentuk landskap genre ini.
Dari era Nada Murni ke The Zikr dan Raihan, hingga mencorakkan kelahiran kumpulan-kumpulan lain, beliau tetap berdiri sebagai ikon utama nasyid tanah air.
Nostalgia, ikatan persaudaraan & sejarah lebih istimewa, video muzik “Mengemis Kasih” turut menampilkan Ustaz Amran, anggota asal The Zikr yang pernah bersama Raihan.
Kehadiran beliau membawa nostalgia serta mengingatkan peminat bahawa sejarah Raihan bermula daripadaThe Zikr – sebuah legasi dakwah muzik yang saling melengkapi walau menempuh jalan berbeza.
Istimewanya “Mengemis Kasih” turut hadir dengan Konsert Eksklusif pada Januari 2026.
Pengurusan Nazrey Johani dan The Zikr, Mas Ayie Mas Omar berkata, konsert ini pasti mengundang nostalgia buat peminat nasyid tanah air.
“Konsert ini juga akan diserikan oleh artis undangan istimewa yang akan diumumkan bila tiba masanya nanti,” katanya.