Menjelajah Warisan Negara: Program Bermalam Di Muzium Tarik Minat Pelajar Seluruh Malaysia

Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia dan berkerjasama dengan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) telah mencetuskan kegemparan dengan melancarkan Program Bermalam Di Muzium 2023 di Muzium Hang Tuah, Kampung Duyong, Melaka.

Program yang bermula pada tahun 2005 di Muzium Negara ini kini telah menjadi salah satu program ‘signature’ yang terkemuka di bawah Jabatan Muzium Malaysia. Pada tahun 2016, program ini dilaksanakan serentak di muzium-muzium negeri dan institusi, menarik minat pelajar-pelajar sekolah dari seluruh Malaysia dengan penyertaan yang semakin meningkat setiap tahun. Walau bagaimanapun, program ini pernah terhenti selama tiga (3) tahun akibat daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan Covid-19 yang melanda negara. Kini, semangat program ini kembali menyala, mengajak semua untuk menyelami pengalaman menarik ini.

Tahun ini menyaksikan program ini dilaksanakan semula dengan penyertaan seramai 1,551 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dari seluruh Malaysia melalui penglibatan 25 buah muzium-muzium yang terdiri dari muzium persekutuan, muzium negeri dan muzium institusi. Program ini menyasarkan golongan remaja secara khusus ke arah menyuburkan semangat cintakan tanah air sekaligus memupuk apresiasi yang tinggi kepada warisan sejarah, seni dan budaya negara menerusi aktiviti permuziuman.

 

Pelbagai pengisian menarik telah diisi sepanjang program ini berlangsung. Antara kelainan yang dibawa adalah Aktiviti Ekspresi Ikat dan Celup dengan mewarnakan t-shirt putih menggunakan warna jalur gemilang iaitu kuning, merah dan biru secara serentak oleh semua peserta yang terlibat di muzium masing-masing. Penghayatan Rukun Negara juga dijadikan salah satu aktiviti wajib pada tahun ini sejajar dengan program dan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam memperkasakan pembudayaan prinsip Rukun Negara di semua peringkat.

Program ini juga dilihat sebagai satu tapak integrasi kepada para pelajar yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum, budaya, bangsa dan agama. Secara tidak langsung mampu memberi impak yang lebih besar ke arah memperkasakan generasi muda negara.

Ketua Setiausaha Perpaduan Negara menyatakan bahawa penganjuran program ini amat bertepatan dan sesuai kepada para pelajar bagi menerapkan nilai-nilai yang baik serta pemahaman terhadap citra negara. Kementerian Perpaduan Negara akan sentiasa memberi sokongan jitu terhadap apa jua program yang memberi penekanan kepada penyatuan masyarakat sama ada melalui kerjasama atau sinergi bersama agensi-agensi kerajaan, pihak swasta, NGO, organisasi, institusi pengajian tinggi mahupun pihak sekolah.

Comments

Leave a Reply