Kewujudan pusat alumni di institusi pengajian menunjukkan betapa pentingnya sumbangan bekas pelajar kepada institusi tersebut. Program Alumni ‘Sirih Pulang ke Gagang’ 2024 SMV/SMT/KV ERT Setapak Kuala Lumpur dianjurkan oleh pentadbir pusat alumni Kolej Vokasional ERT Setapak untuk memperkuat hubungan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti vokasional.
Program yang pertama kali diadakan ini berlangsung di perkarangan Kolej Vokasional Setapak Kuala Lumpur, berjaya mengumpulkan 45 batch alumni yang merupakan bekas pelajar SMV/SMT ERT dan KV ERT dari tahun 1975 hingga 2023, dengan jumlah kehadiran seramai 400 orang. Antara tetamu yang hadir termasuk Pengarah Kolej Vokasional ERT Setapak, Puan Hajjah Majmin Md. Noor, Dato’ Zainuri (Pengasas Nurizz Kosmetik dan Pengerusi Alumni), serta Rasta Rashid (Pengasas Rasta Creation).
Majlis ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim, mengenang memori, dan menyambung legasi di mana alumni dapat memberi inspirasi kepada masyarakat. Alumni SMV/SMT/KV telah melahirkan ramai tokoh korporat dan figura terkenal dari seluruh Malaysia, termasuk pereka fesyen selebriti, model antarabangsa, pensyarah berkaliber, chef di hotel lima bintang, pemilik kosmetik terkemuka, mekap artis terkenal, serta pengarah syarikat bumiputra dan korporat.
Idea program ‘Sirih Pulang ke Gagang’ adalah cetusan Pengarah Kolej Vokasional ERT Setapak, Puan Hajjah Majmin Md. Noor. “Selain mengumpulkan bekas pelajar, kami juga dalam proses mengumpul dana untuk memperbaiki perpustakaan sekolah vokasional. Jika ada lebihan dana, ia boleh digunakan untuk keperluan lain di sekolah,” jelas Rasta Rashid.
“Kami memilih untuk mengadakan program ini di dewan Kolej Vokasional kerana kosnya lebih rendah berbanding di hotel, sehingga memudahkan semua untuk hadir,” tambah beliau lagi.
Dato’ Zainuri menjelaskan bahawa program ini bertujuan mengumpulkan bekas pelajar yang berjaya. “Kami ingin menunjukkan bahawa bekas pelajar vokasional boleh berjaya dalam kehidupan mereka. Semasa penularan wabak Covid-19, kemahiran memasak saya membolehkan saya menjual makanan dan hidup selesa,” kata Dato’ Zainuri.
Untuk perancangan masa hadapan, Dato’ Zainuri berharap agar dapat menubuhkan Persatuan Anak-Anak TVET di Malaysia. Untuk pengetahuan, tiket penyertaan program ini dijual pada harga RM100 seorang.