Lagu terbaru “Esok” menandakan satu momen bersejarah buat pasangan kembar, Fahimi dan Firdaus Rahmat. Setelah sekian lama berkecimpung dalam dunia muzik secara solo, akhirnya kedua-duanya merealisasikan impian untuk berkolaborasi dalam sebuah karya istimewa. Ini merupakan duet pertama pasangan kembar ini.
Firdaus Rahmat berkongsi, “Lagu ‘Esok’ merupakan lagu yang teristimewa dan dekat di hati kami kerana ini adalah satu kolaborasi yang sudah diidamkan sejak awal penglibatan dalam industri muzik. Kami hanya menunggu masa dan lagu yang tepat untuk dilancarkan, dan ternyata ‘Esok’ menjadi buah tangan khas untuk semua pendengar dan penyokong. Daripada kami hanya untuk anda, ‘Esok’.”
Bagi Fahimi pula, makna “Esok” terletak pada persoalan yang cukup mendalam: “Esok pasti ada, pastikah kita ada hari esok?” – menjadikan lagu ini bukan sekadar karya muzik, tetapi juga refleksi tentang kehidupan dan masa depan.

Proses rakaman lagu “Esok” cukup unik kerana dilakukan sepenuhnya oleh Fahimi dan Firdaus sendiri tanpa kehadiran produser luar. Menurut Firdaus, rakaman suara hanya mengambil masa lebih kurang dua jam di studio Faithful Music. Malah, mereka sendiri bergilir-gilir menjadi produser untuk setiap bahagian vokal, menjadikan pengalaman ini begitu peribadi dan istimewa.
Kolaborasi ini turut menonjolkan pertembungan gaya muzik yang berbeza tetapi saling melengkapi. Menurut Fahimi, perbezaannya lebih kepada menyesuaikan dan mengimbangkan dua genre dalam satu lagu kerana mereka mempunyai genre yang sangat berbeza.
Dengan nuansa pop versatile yang menampilkan dua vokal hampir serupa, “Esok” hadir sebagai karya yang bukan sahaja mengangkat keunikan muzik Fahimi dan Firdaus, tetapi juga menambah warna dalam industri muzik tanah air.
“Kami ingin berterima kasih kepada semua pendengar yang sentiasa menyokong dan menaikkan martabat muzik pop terkini, khususnya lagu ‘Esok’,” ujar Firdaus.
“Esok” kini tersedia di semua platform digital dan juga merupakan runut bunyi (OST) untuk Tonton Original – Me.N.U yang dibintangi oleh Nabila Razali dan Andi Bernadee. Video visual rasmi lagu “Esok” kini boleh ditonton di saluran YouTube Fahimi. “Esok” merupakan satu kolaborasi bersama Faithful Music dan Alternate Records Sdn Bhd serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia.
Pautan Visualizer: https://youtu.be/GHHIlgpEmDI?si=8fhbjmUXhdBCWJh6

