Lekangan retina mungkin sesuatu yang jarang kita dengari namun ia adalah satu faktor risiko yang perlu diambil perhatian sekiranya kita berumur 40 tahun ke atas, mengalami miopia atau rabun jauh yang tinggi, serta mempunyai sejarah keluarga. Jika ia berlaku, pesakit perlulah bertindak segera dengan mendapatkan rawatan untuk mengelakkan mata menjadi buta secara menyeluruh.

Dr Peh Khaik Kee dan Dr Selva Raja Vengadasalam, Pakar Perubatan Oftalmologi dan Pakar Bedah Vitreoretinal di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), berkongsi perspektif mereka tentang keadaan yang boleh menyebabkan kebutaan ini, daripada tanda-tanda amaran awal dan faktor-faktor risiko, kepada pilihan rawatan moden dan kepentingan intervensi yang tepat pada masanya.
Lekangan retina berlaku apabila retina, lapisan nipis tisu di belakang mata, terpisah daripada kedudukan asalnya. Ia tidak menyakitkan namun, jika tidak dirawat, keadaan ini boleh menyebabkan mata mengalami buta secara kekal. Dr Peh membandingkan mata dengan kamera, di mana retina berfungsi sebagai filem. Gel jernih yang dipanggil cecair vitreus memenuhi mata, tetapi ia mula mengecut dan tertarik daripada retina apabila kita meningkat usia. Tarikan ini boleh menyebabkan koyakan pada retina. Jika cecair meresap ke belakang koyakan, ia boleh mengangkat retina dan menyebabkan lekangan. “Jangan tunggu sehingga bayang-bayang menutup bahagian tengah penglihatan anda. Ini boleh mengganggu proses pemulihan penglihatan mata,” jelas Dr Peh.
Tanda-tanda utama yang perlu diperhatikan termasuklah floaters (bintik terapung) dan kilauan cahaya. Floaters mungkin kelihatan seperti bintik, sarang labah-labah, atau bentuk seperti nyamuk yang terapung dalam penglihatan. Peningkatan mendadak floaters atau kilauan, terutamanya di tepi penglihatan anda, harus menimbulkan kebimbangan segera. Satu lagi tanda bahaya ialah bayang-bayang atau tirai yang merayap merentasi pandangan. Ini boleh menjadi tanda bahawa retina sudah mula berpisah. Walaupun sebahagian daripada retina terpisah, pesakit boleh mengekalkan penglihatan hampir normal selagi makula masih berada di tempatnya. Tetapi sebaik sahaja makula terpisah, kemungkinan untuk memulihkan penglihatan sepenuhnya akan turun dengan ketara.

Menurut Dr Selva, lekangan retina berlaku dalam kira-kira 7 hingga 14 kes bagi setiap 100,000 orang, satu kadar yang lebih tinggi daripada sangkaan ramai, dan Malaysia tidak terkecuali. Ia bukanlah disebabkan oleh gaya hidup atau diet, tetapi lebih kepada faktor-faktor struktur mata. Individu yang paling berisiko termasuk mereka yang berumur lebih 40 tahun, mereka yang mempunyai miopia yang tinggi, pesakit dengan sejarah keluarga mengalami masalah retina, dan mereka yang pernah mengalami kecederaan atau pembedahan mata. Beliau turut menambah bahawa kes ini lebih kerap berlaku di kalangan lelaki, serta prevalens yang lebih tinggi dilihat dalam komuniti Cina akibat kadar miopia yang tinggi.
“Simptom seperti floaters dan kilauan adalah biasa, tetapi hanya kira-kira 5 hingga 10 peratus daripada kes ini melibatkan koyakan retina,” kata Dr Selva. Oleh itu, penting untuk membuat pemeriksaan terdilat oleh pakar retina bagi mengesahkan sama ada rawatan segera diperlukan. Pemeriksaan susulan juga disarankan dalam tempoh dua hingga tiga bulan selepas simptom bermula kerana pada waktu inilah risiko koyakan paling tinggi.
Jika koyakan dapat dikesan lebih awal, ia boleh dirawat dengan prosedur laser ringkas yang dipanggil fotokoagulasi. Namun sekiranya retina sudah terpisah, pembedahan adalah satu-satunya pilihan rawatan berkesan. Antara prosedur yang digunakan ialah vitrektomi atau scleral buckling, iaitu teknik pembedahan mikro untuk menghubungkan semula retina. Vitrektomi moden menggunakan instrumen sekecil 0.5 milimeter, menyerupai pembedahan lubang kunci, membolehkan pesakit pulih lebih cepat. Dalam sesetengah kes, gelembung gas diletakkan di dalam mata untuk menekan retina kembali ke tempatnya, dengan pesakit mungkin perlu meniarap setiap hari untuk tempoh tertentu.
Kadar kejayaan untuk pembedahan penyambungan semula retina adalah tinggi, iaitu antara 80 hingga 97 peratus, bergantung pada seawal mana ia dilakukan. Jika makula masih melekat, penglihatan penuh boleh dikembalikan. Namun jika makula sudah terpisah, hanya kira-kira 70 peratus pesakit boleh mendapatkan semula penglihatan yang cukup untuk aktiviti harian seperti memandu. Walau bagaimanapun, kebanyakan pesakit akan mengalami masalah katarak selepas pembedahan retina, biasanya dalam tempoh 6 hingga 24 bulan, yang boleh dirawat dengan pembedahan katarak standard.
Tiada pil atau makanan tambahan yang boleh mencegah lekangan retina, tetapi pengesanan awal amat penting untuk menentukan hasil rawatan. “Saringan awal mampu menyelamatkan penglihatan. Lebih awal kita mengesan dan merawat koyakan atau lekangan retina, lebih tinggi peluang untuk mengekalkan penglihatan yang jelas,” kata Dr Peh. Dr Selva menambah, “Pembedahan lekangan retina bukan untuk meningkatkan penglihatan, tetapi untuk menyelamatkan penglihatan anda. Jika anda berisiko atau mendapati terdapat perubahan mendadak dalam penglihatan anda, jangan berlengah. Jumpa pakar dengan segera.”
Pusat Mata Sunway di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, menawarkan perkhidmatan komprehensif daripada pemeriksaan mata rutin kepada pembedahan retina lanjutan dan penjagaan susulan jangka panjang. Sebagai hospital swasta terbesar di Malaysia, SMC merupakan hospital pertama di Malaysia yang memperoleh tiga akreditasi penjagaan kesihatan utama: Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) dari Amerika Syarikat, Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS) Antarabangsa, dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH). SMC turut disenaraikan sebagai salah satu Hospital Swasta Terbaik di Asia untuk Penjagaan Mata oleh Newsweek.

