Dengan bangganya, Mingguan Wanita dan NONA bekerjasama menganjurkan program “Sehebat Wanita Ini,” bertujuan meraikan dan mengiktiraf sumbangan wanita-wanita hebat di Malaysia. Inisiatif daripada team Wanita di Ideaktiv ini mengetengahkan kisah-kisah inspirasi, pencapaian luar biasa, dan dedikasi wanita-wanita yang telah memberi impak besar dalam pelbagai bidang.
Program sehari yang berlangsung dari pagi hingga malam ini terbahagi kepada dua aktiviti utama. Sebelah siang, acara “Forum Anak Syurga” dihoskan oleh Nani Roslan dan dibawakan oleh Al Kauthar Eduqids, menampilkan panel-panel seperti Dr. Norzila Zakaria, selebriti Zarina Zainuddin, Datin Nor Fadilah Alias, Norhaidda Hassan, Dr. Malar, Fynn Jamal, dan Dr. Robiah K. Hamzah. Forum ini membincangkan isu perkembangan, kesihatan, dan kecerdasan anak-anak istimewa.
Seramai 500 orang ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa menyertai forum ini, menunjukkan minat dan keperluan untuk membincangkan topik-topik seperti Power Up Mental & Fizikal, Kapsul Sihat & Cergas, dan Anak Istimewa Selangkah Ke Syurga. Forum ini memberikan platform untuk berkongsi ilmu dan pengalaman serta membina komuniti sokongan antara ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa. Melalui perkongsian ini, diharapkan para ibu bapa dapat memperoleh pengetahuan baru, sokongan moral, dan inspirasi dalam menjaga dan membesarkan anak-anak mereka.
Sebelah malam pula berlangsung “Ibu Inspirasi Gala Night Mingguan Wanita dan NONA,” juga dibawakan oleh Al Kauthar Eduqids, di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Pada majlis yang gilang-gemilang ini, wanita-wanita hebat diraikan dengan kehadiran Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu, dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin yang mencemar duli berangkat menyerikan majlis. Turut hadir adalah Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Ibu Inspirasi Gala Night Mingguan Wanita dan NONA” bertujuan memartabatkan dengan memberi anugerah kepada ibu-ibu dan wanita -wanita berjaya dalam pelbagai bidang. Malam Gala ini dirancakkan lagi dengan pengacara terkenal Fiza Frizzy dan persembahan nyanyian oleh artis Atilia Haron dan ibunya Salamiah Hassan serta Mila Jirin. Ia merupakan malam yang penuh dengan kegemilangan, di mana pencapaian dan dedikasi wanita-wanita ini akan diraikan dengan penuh kemeriahan.
Wanita seringkali dikaitkan dengan mempunyai kesabaran dan kekuatan dalaman yang tinggi. Melalui program “Sehebat Wanita Ini,” Mingguan Wanita dan Nona ingin menonjolkan sifat- sifat murni ini yang telah mendorong wanita-wanita di Malaysia untuk mencapai kejayaan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan.
“Program ‘Sehebat Wanita Ini’ bukan sahaja platform untuk meraikan kejayaan tetapi juga untuk memupuk jaringan sokongan antara wanita. Ia adalah satu inisiatif daripada Mingguan Wanita dan Nona dalam menghubungkan wanita-wanita hebat ini dengan peluang-peluang baru, sumber-sumber penting, dan hubungan yang boleh membantu mereka berkembang dan berjaya dalam bidang masing-masing. program ini akan menjadi pemangkin kepada perubahan positif dan kemajuan wanita di Malaysia.”
Program ini menampilkan wanita-wanita dari pelbagai latar belakang, termasuk usahawan, selebriti, ahli profesional, serta individu individu yang telah membawa perubahan positif dan memberi impak positif dalam masyarakat.
Dengan dua aktiviti utama ini, program “Sehebat Wanita Ini” tidak hanya meraikan kejayaan dan sumbangan wanita, tetapi juga memberi peluang untuk pendidikan dan sokongan komuniti yang sangat diperlukan. Ideaktiv berharap bahawa inisiatif ini akan menjadi satu titik permulaan kepada lebih banyak program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada wanita- wanita di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, “Kami di Nu Ideaktiv berasa amat teruja untuk menganjurkan program ‘Sehebat Wanita Ini’. Program ini adalah bukti penghargaan kami terhadap wanita-wanita luar biasa di Malaysia yang telah menonjolkan kekuatan, dedikasi, dan inspirasi dalam pelbagai aspek bidang dalam kehidupan. Kami berharap program ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk mencapai impian mereka dan terus memberi impak positif dalam masyarakat.”
“Dengan penglibatan dan sokongan daripada pelbagai pihak terutama penaja utama Al Kauthar Eduqids, “Sehebat Wanita Ini” dijangka akan menjadi satu program yang bersejarah dan berkesan dalam mengangkat martabat wanita. “Kami menggalakkan semua pihak untuk turut serta dalam program ini dan bersama-sama kita raikan kekuatan, kecekalan, dan kejayaan wanita-wanita luar biasa di Malaysia,” ujar Syamil.
Editor Pengurusan Grup Wanita, Kiffy Razak berkata, “Kami sangat bangga dapat memainkan peranan dalam penganjuran program ‘Sehebat Wanita Ini.’ Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memberi penghormatan kepada wanita-wanita yang telah menunjukkan dedikasi dan keberanian yang luar biasa. Kami ingin menyampaikan mesej bahawa setiap wanita memiliki potensi untuk mencapai perkara-perkara hebat dan program ini adalah platform untuk meraikan dan mengiktiraf sumbangan mereka. Diharapkan program ini dapat menginspirasikan lebih ramai untuk mengejar impian mereka dan memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.”
Pengasas Al Kauthar Eduqids, Datin Dr Nor Fadilah Alias berkata “Forum Anak Syurga Al Kauthar Eduqids ini merupakan platform yang sangat bermakna untuk berkongsi ilmu, pengalaman, dan inspirasi dalam usaha Al Kauthar Eduqids mendidik anak-anak syurga, khususnya mereka yang berkeperluan khas. Al Kauthar Eduqids komited dalam menyediakan pendidikan inklusif yang terbaik, memastikan setiap anak mendapat peluang yang sama untuk berkembang dan berjaya. Semoga dengan adanya forum ini, kita dapat memperkukuhkan lagi usaha Al Kauthar Eduqids dalam memberikan yang terbaik untuk anak-anak syurga kita”.
“Selain itu, hari ini, kita berkumpul untuk meraikan Ibu Inspirasi, wanita-wanita hebat yang telah menunjukkan ketabahan, kasih sayang, dan komitmen yang luar biasa dalam membentuk keluarga dan masyarakat. Mereka adalah contoh teladan yang bukan sahaja menginspirasi kita semua tetapi juga membuktikan bahawa peranan seorang ibu adalah sangat berharga dan tak ternilai. Semoga pengiktirafan ini menjadi sumber inspirasi kepada kita semua untuk terus menghargai dan menyayangi ibu-ibu dalam kehidupan kita. Kepada semua Ibu Inspirasi, tahniah diucapkan, dan semoga terus sukses dalam setiap langkah yang diambil” tambah Datin Dr Nor Fadilah Alias.