FELDA Komited Perkukuh Hubungan dengan Kerajaan Negeri Terengganu

Berhubung isu antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Kerajaan Negeri Terengganu, FELDA menjelaskan bahawa perkara ini telah dibincangkan secara rasmi bersama Kerajaan Negeri dalam beberapa siri rundingan yang masih berlangsung. Dalam setiap sesi, FELDA menegaskan bahawa sebarang cadangan yang melibatkan perkongsian keuntungan atau penstrukturan semula pegangan aset hanya akan diputuskan selepas dibentangkan dan mendapat kelulusan rasmi daripada pihak berkaitan, selaras dengan proses kelulusan dan tatacara yang ditetapkan.

Dalam mesyuarat bertarikh 2 Oktober 2025, kedua-dua pihak bersetuju untuk memberikan tempoh selama 40 hari bagi mencari penyelesaian terbaik dan memuktamadkan rundingan dengan semangat kerjasama yang konstruktif. Oleh itu, FELDA menegaskan bahawa rundingan masih berjalan dengan baik dan sebarang persepsi bahawa ia telah terhenti tidak menggambarkan keadaan sebenar. FELDA percaya bahawa perundingan seterusnya perlu diadakan untuk merapatkan jurang perbezaan pandangan antara kedua-dua pihak supaya penyelesaian yang seimbang dan menyeluruh dapat dicapai.

Proses rundingan kini berjalan secara harmoni dengan penglibatan semua pihak berkepentingan. FELDA kekal komited untuk menyelesaikan isu ini dengan penuh tanggungjawab dan profesionalisme, dengan mengambil kira hak serta kepentingan Kerajaan Negeri Terengganu, di samping memastikan kebajikan peneroka dan kelestarian ekosistem perladangan terus terpelihara. FELDA percaya bahawa melalui pendekatan berhemah, saling menghormati dan berpaksikan nilai MADANI, penyelesaian yang adil dan mampan dapat dicapai demi kesejahteraan bersama.

Related Post