FELDA Kini Kuasai Lebih 90% Saham FGV, Seru Penyertaan Pemegang Saham Lain Sebelum 15 Ogos. Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengumumkan bahawa pihaknya telah berjaya mencapai pemilikan melebihi 90% saham dalam FGV Holdings Berhad (FGV) melalui proses Tawaran Pengambilalihan Sukarela (Voluntary Take-Over – VTO) yang masih berlangsung. Tawaran tersebut dijadualkan ditutup pada jam 5.00 petang, 15 Ogos 2025, dan FELDA menyeru para pemegang saham yang masih belum menerima tawaran tersebut agar berbuat demikian sebelum tarikh tamat. Pengambilalihan strategik ini menandakan langkah penting ke arah pemerkasaan Kumpulan FELDA sebagai entiti yang lebih mampan, berfokus dan berdaya saing, di samping menyokong aspirasi Pelan Strategik dan Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025–2030. Ia diyakini mampu menjamin pulangan jangka panjang kepada warga peneroka dan seluruh pemegang taruh. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui talian 03-8744 4017, 03-8744 4195, atau 03-8744 4049.