Penyanyi dan komposer berbakat, Firdaus Rahmat, kembali dengan single terbaharunya berjudul Dendam, sebuah balada sarat emosi yang menyingkap sisi kemanusiaan dan pergelutan dalaman antara marah, kecewa dan keikhlasan.
Lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Firdaus sendiri daripada melodi hingga ke lirik, menjadikan Dendam sebuah karya yang sangat peribadi dan dekat di hati. Dengan susunan muzik yang segar serta lirik yang mendalam, lagu ini mengajak pendengar menyelami rasa dendam yang akhirnya terlerai melalui keinsafan dan penyerahan kepada Tuhan.
“Dendam adalah keinginan membalas sifat buruk seseorang terhadap kita, namun akhirnya kita sedar hanya Tuhan yang berhak menentukan penghakiman sebenar,” katanya yang turut berperanan sebagai komposer lagu ini.
Berbeza daripada karya-karya sebelumnya, Dendam menonjolkan sisi vokal Firdaus yang lebih matang dan berani bereksperimen. “Lagu ini mencabar dari segi lontaran dan teknik nyanyian. Untuk menyeimbangkan rasa, ton suara dan teknik adalah sesuatu yang mencabar bagi saya yang jarang menyanyikan lagu balada sebegini. Tapi saya percaya ton suara boleh memberi impak besar dalam menyampaikan emosi sebenar lagu ini,” ujar beliau lagi.
Proses pembikinan lagu ini mengambil masa sekitar dua minggu, manakala sesi rakaman berlangsung selama tiga jam merupakan satu proses yang penuh intensiti.
Firdaus turut berkongsi pengalaman menarik di studio. “Saya sempat berehat seketika di pertengahan rakaman kerana emosi dan tenaga yang diperlukan untuk menyampaikan lagu ini agak berat. Namun saya teruskan kerana saya mahu lagu ini disampaikan dengan jujur dan sepenuh hati,” jelasnya.
Dari segi penceritaan, Dendam mengangkat tema yang dekat dengan masyarakat yakni pergelutan antara amarah dan keinsafan, keinginan untuk membalas namun akhirnya menyerah pada takdir keadilan Ilahi. Ia bukan sekadar sebuah lagu balada, tetapi juga sebuah renungan diri.
Menerusi karya ini, Firdaus Rahmat membuktikan kemampuan dirinya bukan sahaja sebagai penyanyi berbakat, tetapi juga komposer dan penulis lirik yang mampu mencipta karya yang berjiwa, matang dan bermakna.
Lagu Dendam juga merupakan runut bunyi (OST) bagi drama Takdir Cinta Terlarang di slot Akasia TV3, kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube Music dan Spotify.
Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.