Dua kugiran legenda Malaysia dengan dua ‘cop mohor’ tersendiri dan dua kelompok peminat akan bersatu dalam sebuah konsert bersejarah yang diberi nama Konsert Fenomena Samurai.
Dan tanpa menyebut nama kugiran, cukup hanya perkataan Fenomena dan Samurai, peminat setia muzik tempatan sudah mengetahui siapakah dua legenda yang berjaya disatukan di atas sebuah pentas.
Search Fenomena dan Samurai XPDC, gabungan kugiran yang tentu sahaja membuat peminat teruja menyambut penyatuan mereka.
Bakal berlangsung di Stadium Sarawak, Kuching pada 13 Disember 2025, Konsert Fenomena Samurai adalah gabungan pemuzik-pemuzik hebat yang telah mencetak sejarah tersendiri sepanjang berada dalam belantika muzik.
XPDC dengan barisan Izo, Lola, Eddie, Arif dan Mamu manakala Search tanpa perlu diperkenalkan kental digawangi Din dan Kid akan menjadikan Konsert Fenomena Samurai sebuah malam epik buat peminat muzik rock.
Penganjur bersama, Seni Simfoni dan Bintang Batu Event menyifatkan Konsert Fenomena Samurai sebagai sebuah projek seni yang dirancang rapi kerana tidak mahu kredibiliti kugiran yang mempunyai portfolio besar dalam negara hanya menjadi sebuah persembahan biasa.
“Siapa yang tidak kenal Search dan siapa yang tidak kenal XPDC? Dua kugiran ini adalah gergasi muzik tanah air. Muzik dan penampilan mereka sejak era 80-an sehingga kini kekal relevan dan kelompok peminat mereka juga telah beranak-pinak dari generasi lama kepada masa kini. Jadi apabila kami, Seri Simfoni dan Bintang Batu Event berbincang untuk menganjurkan Konsert Fenomena Samurai, perkara utama yang dititikberatkan adalah kualiti konsert dan tidak akan berkompromi mengenai kredibiliti Search serta XPDC sebagai kugiran yang disegani. Maka, apa yang boleh kami katakan adalah Konsert Fenomena Samurai adalah sebuah penganjuran yang mempunyai piawaian tersendiri baik daripada segi pemilihan muzik atau kualiti bunyi dan persembahan,” ujar Ikhram atau Atom dari Seri Simfoni Sdn Bhd & Bintang Batu Event.
Buat Search, Din menyifatkan penganjuran Konsert Fenomena Samurai sebagai sebuah konsert yang akan dipenuhi bukan hanya nostalgia tetapi juga apresiasi peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan Search dan XPDC yang dipenuhi sepak terajang.
“Konsert Fenomena Samurai bukan hanya konsert untuk peminat melihat dan mendengar lagu-lagu Search dan XPDC tetapi kami percaya mereka yang hadir sudah sebati dengan sepak terajang, kecintaan serta perjuangan kami,” ujar Din.

Harga ‘early bird’ Konsert Fenomena Samurai mengikut kategori ialah RM250 (VIP), RM188 (Mosh), RM104 (Free Standing), RM160 (Silver), RM90 (Bronze). Tiket Konsert Fenomena Samurai sudah boleh dibeli menerusi: http://fenomenasamurai.ubertickets.asia/
Atau dapatkan tiket Konsert Fenomena Samurai pada harga biasa iaitu RM359 (VIP), RM269 (Mosh), RM149 (Free Standing), RM229 (Silver), RM129 (Bronze) sehingga konsert berlangsung pada 13 Disember 2025.
Jika anda adalah peminat setia Search dan XPDC, Konsert Fenomena Samurai yang berlangsung di Stadium Sarawak, Kuching pada 13 Disember 2025 ini adalah sebuah penganjuran yang wajib menerima kehadiran anda semua.
Kerana apa? Kerana di penganjuran konsert inilah gelombang fenomena akan tercipta.