Author: Destina Asia

  • Program Kongsi Rezeki Ramadan

    Program Kongsi Rezeki Ramadan

    Sepanjang Ramadan ini, Program Perkongsian Rezeki Ramadan akan menyampaikan sejumlah 3,000 paket juadah sarapan pagi kepada golongan asnaf khususnya pelajar kolej dan anak yatim.

    Pengagihan pek berbuka puasa itu telah bermula pada 1 Ramadan melibatkan 200 pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) kampus Bangi, Selangor.

    Menu yang disajikan adalah berkhasiat dan berkualiti bagi memastikan golongan asnaf benar-benar dapat menikmati juadah yang enak ketika berbuka puasa.

    Perdana Menteri Kesembilan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, program ini diadakan bagi memastikan golongan asnaf tidak terpinggir dan dapat merasai nikmat ketika berbuka.

    “Di saat kita mampu membeli pelbagai juadah berbuka dan menikmati makanan yang lazat, masih ada lagi mereka yang tidak bernasib baik.

    “Menginsafi hal ini, Program Kongsi Rezeki Ramadan menyediakan juadah berbuka berupa pek makanan kepada golongan fakir miskin dan Asnaf melalui pengagihan secara reach out kepada golongan sasar, ” kata Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata demikian ketika menyantuni dan mengagihkan juadah berbuka puasa kepada pelajar-pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat di sini hari ini.

    Tambah Dato’ Sri Ismail Sabri, program ini juga memupuk dan menyuburkan semangat Keluarga Malaysia, untuk saling bantu membantu khususnya terhadap golongan memerlukan di bulan yang mulia ini.

    Pada hari ini, sebanyak 100 pek makanan di agihkan kepada pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan 120 pek makanan kepada penghuni Rumah Limpahan Kasih yang beroperasi di Puchong, Selangor.

    Dari jumlah 3,000 pek makanan yang diagihkan sepanjang Ramadan, sebanyak 500 diperuntukkan kepada petugas keselamatan.

    Sumbangan tersebut dilaksanakan bagi meringankan beban pengawal keselamatan yang berpendapatan rendah.

  • 313 KELUARGA TERIMA SUMBANGAN KOTAK MAKANAN DAN WANG TUNAI SEMPENA BANTUAN PASCA BANJIR DAERAH ROMPIN

    313 KELUARGA TERIMA SUMBANGAN KOTAK MAKANAN DAN WANG TUNAI SEMPENA BANTUAN PASCA BANJIR DAERAH ROMPIN

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini menyampaikan sumbangan dan wang tunai berjumlah RM72,000 kepada 313 keluarga terjejas banjir Rompin.

    Timbalan Menterinya Senator Fuziah Salleh (gambar) dalam kenyataan berkata sumbangan pasca banjir itu bertujuan meringankan beban mereka yang telah ditimpa bencana.

    Beliau berkata ia disampaikan kepada keluarga yang terjejas akibat banjir di kampung Orang Asli dan kampung tradisi antaranya Kampung Bukit Serok, Kampung Meripoh, Kampung Rekoh, Kampung Perwira Jaya, Kampung Lubok Batu selain Kampung Gadak.

    Katanya Bakul Rahmah itu disumbangkan oleh Rakan Strategik KPDN antaranya Yayasan Food Bank Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, manakala wang tunai disumbangkan oleh Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Takwa.

    “Sejak banjir melanda pada 1 Mac lepas, KPDN menerusi pejabat KPDN Pahang telah menghulurkan bantuan kepada 837 mangsa banjir di Pahang melibatkan kawasan Chini (Pekan), Raub, Jerantut, Temerloh dan Rompin. Sejumlah 800 bungkusan sumbangan bantuan Food Bank dan Bakul Rahmah disampaikan kepada mereka yang terkesan akibat musibah ini,” katanya.

    Selain itu, menurut Fuziah sepanjang berlakunya banjir Sekretariat Food Bank Malaysia bersama Rakan-Rakan Strategik Utama program Bakul Rahmah telah mengagihkan sumbangan berbentuk makanan sedia dimakan dan keperluan diri kepada mangsa yang terlibat.

    Menurutnya bantuan diagihkan kepada mangsa yang ditempatkan di 41 buah Pusat Penempatan Sementara di lima negeri iaitu Terengganu, Perak, Pahang, Johor dan Kelantan.

  • ‘IKON’ WILAYAH PERSEKUTUAN MEMBENTUK SISWA MADANI

    ‘IKON’ WILAYAH PERSEKUTUAN MEMBENTUK SISWA MADANI

    Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) melaksanakan Program Townhall Ikon Negara peringkat Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Bank Rakyat. Pada majlis itu, kira-kira 800 pelajar Kolej Universiti MAIWP Antarabangsa (UCMI), Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM). Majlis perjumpaan balai raya bersama Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, Pengerusi MAIWP, dalam sesi “Membentuk Mahasiswa Bertamadun” – Mahasiswa Sebagai Pemimpin Masa Depan, memulakan acara tersebut.

    Turut diadakan sesi pemberian bantuan awal Pendidikan seperti bantuan tunai, computer riba dan beg keperluan asas ke Menara Gading kepada seramai 850 pelajar yang layak. Majlis Perasmian Townhall Ikon Nasional ini telah disempurnakan ole YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Tun Syed Nasir UKM, Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumput.

    Program Townhall Ikon Nasional (IKON) merupakan program inisiatif PRIHATIN berkonsepkan bual bicara yang menyasarkan pelajar-pelajar baru dan bakal graduan di Institusi Pendidikan Tinggi. IKON juga merupakan program perkongsian ilmu daripada tokoh-tokoh ternama yang Berjaya dalam pelbagai bidang seterusnya melahirkan graduan yang mempunyai mentality kelas pertama. Program IKON yang akan dilaksanakan ini juga turut menjemput beberapa Ikon Malaysia daripada pelbagai bidang untuk perkongsian ilmu dan pengalaman.

    Menurut YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Agama, “Majlis pada hari ini sangat penting dan bermakna kepada saya. Penting dan bermakna untuk kita berkumpul dengan objektif dan matlamat bagi memberikan motivasi kepada para belia atau anak muda dan melahirkan generasi berilmu dalam mencapai matlamat kerajaan untuk masa depan masyarakat dan negara . Kita harus bersama-sama memanfaatkan perlaksanaan program Townhall Ikon Nasional ini yang memfokuskan kepada perkongsian ilmu dari tokoh-tokoh yang berjaya dalam pelbagai bidang dan sekaligus dapat melahirkan graduan kelas pertama. Selain untuk mengangkatnya ke dalam bentuk dan tahap yang jauh lebih bermakna dan Berjaya. Saya sentiasa mengharapkan pihak-pihak lain akan turut memberi sokongan dan bekerjasama menjayakannya dan bekerjasama untuk memeta jalan terbaik membantu membangunkan masa depan pelajar-pelajar kita.”, ujar beliau.

    https://www.youtube.com/live/CJk_Q77CakM?feature=share

    Manakala Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah PRIHATIN, Prof. Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu bakar berkata, “Untuk makluman semua, IKON ini merupakan Program inisiatif dan projek khas yang dianjurkan Yayasan Prihatin Nasional bagi memfokuskan kepada perkongsian ilmu tokoh yang berjaya dan boleh dijadikan pedoman lantas mampu melahirkan graduan yang mempunyai daya tahan dan berfikir pada aras tinggi. Semoga program IKON ini mampu menjadi penanda aras pada masa akan datang dalam melahirkan pelajar dan bakal graduan yang berwawasan dan bermatlamat. Saya juga berasa berbesar hati dan amat gembira kerana saya melihat ramai pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan dapat memfokuskan diri dalam sektor Pendidikan yang mereka ceburi dengan pemberian bantuan dan sumbangan melalui program-program yang dianjur hasil Kerjasama PRIHATIN dan MAIWP.

    PRIHATIN melihat program kali ini mampu mengangkat dan memperkasakan Pendidikan ke suatu tahap yang lebih tinggi dengan Kerjasama yang diatur dan dilaksanakan bersama pihak-pihak yang terlibat bagi Program Townhall Ikon Nasional “Membentuk Siswa Madani” dalam memberikan pengisian serta maklumat kepada pelajar-pelajar untuk menentukan hala tuju mereka di institusi Pendidikan tinggi.

    Turut hadir Dato’ Mohd Aizuddin Mohd Ghazali (Ketua Pegawai EksekutiF PRIHATIN), Encik Mohd Nizam Yahya (Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP), Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak (Pemangku Pengerusi Bank Kerjasama Rakyat Malaysia) dan Datuk Abdul Malik Abdullah (Penasihat Ekonomi & Antarabangsa PRIHATIN).

  • Lotus’s Malaysia menyertai program RAHMAH untuk membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup

    Lotus’s Malaysia menyertai program RAHMAH untuk membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup

    Inisiatif Payung RAHMAH Lotus diperkenalkan sempena kempen RamRaya Sama-Sama Berseri oleh Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) sebagai tanda sokongan kepada program Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memudahkan tekanan yang dibawa oleh peningkatan kos sara hidup rakyat Malaysia.

    Merasmikan pelancaran Inisiatif Payung RAHMAH Lotus’s di Lotus’s Selayang pada hari ini ialah Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, diiringi oleh Yang Berbahagia Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, dan Kenneth Chuah, Presiden Lotus’s Malaysia.

    Pada majlis itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata sokongan yang diperoleh dari Lotus Malaysia sebagai rakan strategiknya adalah satu petanda kejayaan yang berterusan bagi Inisiatif Payung RAHMAH.

    Memperluaskan sokongannya untuk pertumbuhan mampan Malaysia dan usaha berterusannya untuk mewujudkan impak yang positif kepada komuniti yang kurang berkemampuan di negara ini, Lotus’s komited untuk menyampaikan Jualan RAHMAH, Pakej RAHMAH, Bakul RAHMAH dan Menu RAHMAH mulai pada hari ini.

    “Ramai yang merasa tertekan dengan peningkatan kos sara hidup terutamanya golongan B10 dan B40. Kami berharap dengan pengenalan Inisiatif Jualan RAHMAH ini, kami dapat membantu meringankan beban pelanggan kami dengan menyediakan penjimatan sehingga 50% kepada mereka melalui 6,000 produk apabila mereka membeli-belah di semua cawangan Lotus dan pada platform Lotus’s Shop Online kami”, kata Kenneth, Presiden Lotus’s Malaysia.

    Pelanggan juga boleh menikmati penjimatan daripada 30% untuk produk makanan asas dan barangan kembali ke sekolah di bawah tawaran Pakej RAHMAH, dan pada masa yang sama dapat membeli makanan di bawah Inisiatif Menu Rahmah iaitu yang berharga RM5 di semua medan selera Lotus.

    Melalui program komuniti #KitakanJiran Lotus’s, syarikat peruncitan akan menyumbang 1,200 Bakul RAHMAH, yang bakal memberi impak kepada 8,000 individu yang memerlukan di 200 rumah kebajikan dengan akses kepada sayur-sayuran segar, buah-buahan, roti dan barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung dan minyak masak sepanjang tahun.

    “Semangat #KitakanJiran mendorong kami di Lotus’s untuk membantu lebih banyak komuniti disekeliling kami. Kami juga mempunyai program berterusan dengan rakan amal kami Kechara Soup Kitchen yang dinamakan Sama-Sama Hidup Baru, di mana kami menyediakan makanan, kit kebersihan, sesi gunting rambut percuma dan peluang pekerjaan kepada golongan miskin bandar di stor kami. Pelanggan juga dialu-alukan untuk menyumbang dengan menderma 390 mata My Lotus’s melalui aplikasi Lotus’s Malaysia. Seterusnya, pada Ramadhan ini, sukarelawan #KitakanJiran akan menyediakan dan mengagihkan 2,000 hidangan Berbuka Puasa kepada komuniti yang memerlukan di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah”, tambah Kenneth.

    Kenneth turut berkongsi mengenai program sumbangan makanan secara harian dari 65 cawangan Lotus’s di seluruh negara. Sehingga Disember 2022, Lotus’s Malaysia telah menyumbangkan lebih dari 2.42 juta kilogram makanan bersamaan dengan 10.4 juta makanan kepada individu dan keluarga B10 dan B40 melalui rakan kongsi amal Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen.

    Dari 9 Mac – 10 Mei 2023, kempen Sama-Sama Berseri RamRaya Lotus’s menawarkan para pelanggannya diskaun sehingga 50% untuk barangan terpilih dan penjimatan dengan baucar diskaun yang disediakan dalam bentuk cetakan dan e-katalognya. Turut dipromosikan adalah rekaan pakaian Hari Raya yang seperti set baju kurung (RM49.90), set Baju Melayu (RM69.90), Kurta (RM39.90) dan set Bayi (RM22.90).

  • Hargai kepimpinan negara terdahulu urus perpaduan dalam kepelbagaian

    Hargai kepimpinan negara terdahulu urus perpaduan dalam kepelbagaian

    Memahami dan menghargai keunikan antara satu sama lain, bangsa, dan agama mestilah menjadi tunjang perpaduan rakyat Malaysia. Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, menyatakan bahawa pemimpin negara telah lama dapat menangani kepelbagaian sosial negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.

    “Kita lihat dahulu, sejak Malaysia terbentuk, semua Perdana Menteri mampu menguruskan kepelbagaian (rakyat) yang negara ada.

    “Rakyat bangsa lain, dalam negara juga diberi peluang (bersatu) yang kita panggil ‘unity in diversity’ itu,” katanya kepada media.

    Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan ketika merasmikan Program Semarak Perpaduan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Selangor, Anggerik Mall, di sini, pada Isnin.

    Justeru, Ahli Parlimen Kanowit itu berharap, program seumpama itu dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat untuk saling mengenali, memahami dan menghormati keunikan setiap etnik di Malaysia.

    “Program ini berpotensi menyebarluas kefahaman dan menyemai sikap toleransi khususnya dalam mencapai aspirasi Malaysia MADANI.

    “Penganjurannya bertujuan untuk memperluas tapak integrasi sosial di samping mempertingkat jalinan muhibah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya,” katanya.

    Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menggesa sekolah vernakular dimansuhkan bagi membolehkan Malaysia mempunyai perdana menteri bukan Melayu yang pertama akan datang, beliau menyifatkan ianya hanya pendapat peribadi semata-mata.

    “Sesiapa sahaja boleh berkata demikian, tetapi asasnya kita perlu saling menyokong sesama kita.

    “Hakikatnya, kita dari dahulu (pelbagai kaum) begitu, that is the greatest gift God give to us (Malaysia), jadi kita raikan kepelbagaian hidup bersama, dan uruskannya. Jadi, ia tiada isu pun sebenarnya,” katanya.