Bilal Indrajaya Jadi Tarikan Utama Panggung Purnama Fasa Pertama. Seumpama bulan penuh menyinari malam, begitulah kehadiran Panggung Purnama, sebuah konsert yang menjanjikan persembahan hebat daripada barisan penghibur terkemuka Nusantara. Menjadi medan pertemuan peminat dan seniman, konsert ini bakal berlangsung pada 28 September 2025 di Zepp Kuala Lumpur, dengan penyanyi sensasi dari Indonesia, Bilal Indrajaya, diumumkan sebagai ‘peluru pertama’ bagi fasa pertama acara ini.
Penganjur konsert, UdaraLaskhar, menyifatkan pemilihan Bilal sebagai satu langkah yang tepat dan dinanti-nantikan oleh peminat tempatan yang selama ini mengagumi karya penyanyi kelahiran Jakarta itu. Nama Bilal bukan asing di telinga peminat muzik Malaysia, terutamanya selepas lagu “Biar” yang dirilis pada tahun 2018 menjadi ‘lagu kebangsaan’ tidak rasmi dalam kalangan pengikut setianya. Selain itu, penampilannya di pelbagai festival berprestij seperti BNI Java Jazz Festival 2024 memperkukuh reputasinya sebagai penghibur yang mempunyai daya tarik tersendiri.
Menurut John Labu, wakil UdaraLaskhar, kehadiran Bilal di Panggung Purnama adalah jawapan kepada permintaan ramai yang ingin menikmati nyanyian dan karisma Bilal secara langsung. “Kami percaya kepada aura Bilal – daripada gaya persembahan yang unik hinggalah kepada karya-karyanya yang penuh emosi dan nuansa. Beliau adalah pilihan sempurna untuk membuka tirai Panggung Purnama,” jelasnya.

Menariknya, Bilal juga mempunyai hubungan erat dengan peminat Malaysia melalui kolaborasi muzik bersama nama-nama tempatan seperti Noh Salleh dalam lagu Niscaya, serta Ruang Kecil dan Yang Tercinta bersama Romantic Echoes – semuanya sudah menjadi siulan dalam kalangan penggemar muzik alternatif.
Bagi Bilal sendiri, konsert ini merupakan medan istimewa untuk meraikan muzik bersama peminat. “Panggung Purnama adalah seperti festival peribadi antara saya dan pendengar yang sentiasa mendukung karya saya,” katanya. Penyanyi berusia 29 tahun yang terkenal dengan lagu Dara ini juga tidak sabar untuk menjadikan malam itu sebuah pesta penuh emosi dan kenangan.
Pengumuman barisan artis untuk fasa kedua dan finale akan dibuat tidak lama lagi, dan penganjur menyarankan peminat untuk mengikuti perkembangan melalui media sosial rasmi Panggung Purnama. Tiket konsert kini boleh dibeli melalui www.ilassotickets.com, dengan lima kategori berbeza ditawarkan – Bintang (RM189), Langit (RM229), Awan (RM249), Bumi (RM259) dan Purnama (RM479).
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam yang bakal menyatukan seni, emosi dan suara Nusantara. Jika Bilal sudah bersedia menyambut anda di Panggung Purnama, sanggupkah anda membiarkannya menanti tanpa jawapan?
INFORMASI
ACARA: PANGGUNG PURNAMA
LOKASI: ZEPP KUALA LUMPUR
TARIKH: 28 SEPTEMBER 2025
PENGANJUR: UDARALASKHAR
PEMBELIAN TIKET: WWW.ILASSOTICKETS.COM