Ajwa Bakery & Adina Charity Circle Lancar “Program Care Cake” Bantu Tabung Kanak-Kanak Kanser

Ajwa Bakery dengan kerjasama Adina Charity Circle hari ini melancarkan “Program Care Cake”, iaitu satu inisiatif khas kolaborasi yang memperkenalkan produk baharu Ajwa iaitu Marbeles Series (marbles with cheese cake), simbolik kepada harapan dan kasih sayang. Pelancaran ini diadakan bersempena dengan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.

Program ini bertujuan menggabungkan dunia perniagaan dan kebajikan, di mana 30% daripada hasil jualan kek tersebut akan disalurkan terus ke Tabung Kanak-kanak Kanser Adina. Dana ini akan digunakan untuk membantu menyediakan keperluan asas seperti lampin pakai buang dan susu bernutrisi bagi anak-anak kecil dan remaja yang sedang berjuang melawan penyakit kanser.

Pengasas Ajwa Bakery, Puan Dahlia Nazmi, berkata:
“Kami percaya perniagaan mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat. Melalui Program Care Cake, kami berbesar hati dapat bersama Adina menjadikan setiap potongan kek sebagai hidangan yang membawa harapan.”

Pengerusi Adina Charity Circle, Puan Nurdieana Mohd Mardzi, turut menyatakan:
“Program Care Cake adalah bukti bahawa kebaikan boleh datang dalam pelbagai bentuk, termasuk melalui makanan. Setiap pembelian bukan hanya memberi rasa manis, tetapi juga menyumbang harapan kepada anak-anak pesakit kanser.”

Selain pelancaran produk, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menganjurkan aktiviti bersama seperti kempen kesedaran dan aktiviti bersama kanak-kanak kanser yang turut melibatkan para sukarelawan sepanjang tempoh kerjasama ini.

Marbeles Series di bawah Program Care Cake ini boleh didapati di cawangan Ajwa Bakery Kota Damansara dan Taman Melawati serta juga melalui platform jualan dalam talian yang akan diumumkan kemudian.

Related Post