ATLAS Vending dan SW Corp Lancar 50 Unit ECOPOD, Perkukuh Usaha Kitar Semula Negara

Dalam satu langkah bersejarah ke arah Malaysia yang lebih hijau, ATLAS Vending, anak syarikat kepada Etika Sdn Bhd, bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SW Corp) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu pejabat SW Corp di Cyberjaya. Langkah ini menyatukan dua peneraju nasional dengan misi bersama: memperluaskan infrastruktur kitar semula, memupuk tabiat lestari dalam kehidupan seharian, dan menjadikan gaya hidup hijau lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia.

Di bawah perjanjian ini, SW Corp akan memudahkan penempatan 50 unit ECOPOD daripada ATLAS Vending, mesin kitar semula (Reverse Vending Machine) yang diiktiraf Guinness World Records sebagai mesin paling nipis di dunia yang dilengkapi dengan sistem pemampatan tin. ATLAS juga akan bekerjasama dengan SW Corp bagi menempatkan unit ini di lokasi tumpuan tinggi yang dikenalpasti mempunyai impak maksimum terhadap kadar kitar semula.

ECOPOD akan ditempatkan di pasar-pasar, hospital, universiti dan Pusat Transformasi Komuniti (UTC) – lokasi berimpak tinggi yang lazimnya sesak dan terhad ruang. Dengan reka bentuk kompak, ECOPOD sesuai dipasang di kawasan sebegini, menjadikan kitar semula lebih mudah dan praktikal. Tidak seperti mesin kitar semula konvensional yang biasanya memerlukan ruang tambahan untuk menempatkan mesin layan diri dan mesin kitar semula secara berasingan, ECOPOD menggabungkan kedua-dua fungsi dalam satu struktur yang padat, memberikan manfaat berganda tanpa kompromi. Walaupun kecil, setiap ECOPOD mampu menampung sehingga 214 tin yang dimampatkan dan 70 botol pada satu masa, membuktikan bahawa reka bentuk pintar boleh menghasilkan kecekapan dan impak serentak.

YBrs. Tuan Khalid Bin Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif SW Corp, mencuba mesin ECOPOD di bawah pemerhatian Dr. Kalithasan Sothinathan, Pengurus Pemasaran Etika Sdn Bhd. ECOPOD turut menawarkan pengalaman mesra pengguna. Pengguna hanya perlu memasukkan nombor telefon bimbit mereka untuk mula mengitar semula dan menebus kredit. Pengguna yang mengitar semula produk Etika akan menerima kredit ganjaran segera, yang boleh ditebus secara langsung melalui mesin layan diri ATLAS bersebelahan bagi mendapatkan minuman pada harga diskaun – menjadikan amalan kitar semula bukan sahaja mudah tetapi juga menyeronokkan.

Santharuban T. Sundaram, Ketua Pegawai Eksekutif Etika Sdn Bhd berkata, “Kerjasama ini menandakan satu langkah penting dalam memacu ekonomi kitaran Malaysia. Dengan mengaitkan aktiviti kitar semula secara langsung kepada rangkaian produk Etika, ECOPOD memudahkan rakyat menjadikan penggunaan harian sebagai satu amalan lestari – menghabiskan minuman dan terus mengitar semula di tempat yang sama. Matlamat kami bukan sahaja menyediakan penyelesaian pintar, tetapi juga menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengubah tabiat serta meningkatkan kesedaran dan kadar kitar semula. Bersama-sama, kita dapat mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan membina budaya kelestarian yang berkekalan untuk generasi akan datang.”

YBrs. Tuan Khalid Bin Mohamed menegaskan, “Kerjasama bersama ATLAS Vending ini merupakan contoh terbaik kolaborasi antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuh ekosistem kitar semula negara. ECOPOD menyediakan platform interaktif kepada masyarakat, khususnya golongan muda, untuk memupuk amalan kitar semula serta menyokong aspirasi kelestarian Malaysia.”

ECOPOD adalah inovasi buatan Malaysia yang direka dan dibina sepenuhnya di dalam negara, membuktikan bahawa penyelesaian tempatan mampu menangani cabaran global. Dengan menempatkan mesin-mesin di kawasan tumpuan awam, ATLAS dan SW Corp bukan sahaja menjadikan kitar semula lebih mudah diakses, malah memperlihatkan bagaimana inovasi Malaysia dapat menyumbang kepada agenda kelestarian negara. Kerjasama ini selari dengan Rangka Kerja Kelestarian Plastik 2021-2030 yang menggabungkan infrastruktur dengan penglibatan pengguna harian untuk membina tabiat kitar semula jangka panjang. Sejak diperkenalkan pada Mei 2025, ECOPOD telah mendapat sambutan positif daripada orang ramai dan sektor korporat, sekaligus menetapkan penanda aras baharu bagi sistem kitar semula berasaskan ruang terhad. Kadar pengambilannya pantas, dengan ATLAS kini dijangka mencapai sasaran penempatan 100 unit ECOPOD dalam tahun pertama.

Pemeterai MoU bersama SW Corp ini memperkukuh momentum tersebut, mencerminkan komitmen Malaysia untuk mempercepatkan usaha kelestarian melalui inovasi, kerjasama, dan memartabatkan solusi tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai kerjasama ini, layari Facebook ATLAS Vending di https://www.facebook.com/atlasasia.co/.

Related Post