Cat Farish Perkenal ‘Si Penghulu’: Alter Ego Unik Dalam Single Terbaru “Jandanyer Yeah Yeah”

43

Penyanyi, penulis lagu dan ikon hip hop tanah air, Cat Farish, kini tampil dengan wajah baharu melalui alter ego yang diberi nama Si Penghulu. Di bawah persona ini, beliau mempersembahkan single sulung berjudul Jandanyer Yeah Yeah, sebuah karya unik yang menggabungkan elemen hip hop, afrobeat dan identiti bahasa serta budaya rakyat Perak. Lagu ini ditulis oleh Cat Farish bersama Illegal dan dirakam di Platinum Studio, Damansara Perdana. Ia diterbitkan dan diedarkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd, yang turut memegang hak cipta lagu dan lirik.

“Jandanyer Yeah Yeah” bukan sekadar lagu hiburan, tetapi sebuah penghormatan buat semua wanita bergelar janda yang bangkit dengan penuh keyakinan dan semangat memperbaiki diri. Dalam nada bersahaja dan jenaka berlapik, Si Penghulu menyampaikan kisah tentang janda yang menjadi rebutan kembali — bukan kerana rupa, tetapi kerana keazaman dan keanggunan selepas perpisahan.

“Lagu ni untuk beri semangat pada janda-janda kat luar sana. Yang bangkit, bersiap, dan buat lelaki menyesal tinggalkan dia,” ujar Cat Farish.

43a

Watak Si Penghulu lahir ketika sesi kolaborasi lagu Ok ciptaan Malique, dan sejak itu dikembangkan sebagai wadah untuk Cat Farish menyalurkan karya hip hop dengan unsur bahasa dan budaya tempatan. Dengan lenggok loghat Perak dan gaya penyampaian rakyat moden, Si Penghulu tampil sebagai suara masyarakat dalam gaya yang segar dan bersahaja. Lagu ini turut mendapat sokongan daripada isteri beliau, Shikin Maembong, yang menjadi inspirasi di sebalik pembikinan dan perjalanan kreatif projek ini.

Walaupun proses rakaman selesai baru-baru ini, konsep dan idea lagu ini telah mengambil masa lebih dua tahun untuk dimuktamadkan. “Lagu dah ada lama, tapi lirik dan penyampaian tu yang ambil masa nak ‘kena’,” jelas Cat Farish.

Dengan pelancaran ini, Si Penghulu menjadi figura hip hop dari Kampung Sri Kinta di bawah naungan Luncai Emas, membuka lembaran baharu untuk genre rakyat urban dalam industri muzik tempatan.

Single Jandanyer Yeah Yeah akan dilancarkan pada 22 Ogos 2025 di semua platform digital rasmi serta YouTube Luncai Emas. Diharapkan penerbitan single terbaru oleh Si Penghulu A.K.A Cat Farish & Syikin Maembong ini diterima baik dan mendapat perhatian daripada para pendengar serta media di luar sana.

Related Post