Album studio terkini beliau, ‘Antonim (Bahagian I),’ yang diumumkan pada 5 Januari, adalah pencapaian yang sangat dinantikan oleh para peminat, menandakan kematangan seni dan ketabahan Hael selama ini.
#1 iTunes (Malaysia & Brunei) & #2 Apple Music Malaysia
Pada hari pertama album ANTONIM (PART 1) diluncurkan sahaja, album tersebut terus mendapat sambutan yang cukup hebat sehingga menduduki posisi nombor 1 di carta iTunes Malaysia dan juga Brunei berdasarkan jualan digital, manakala di Apple Music Malaysia pula, ia berada di kedudukan nombor 2 berdasarkan jumlah penstriman oleh pendengar.
“Saya sangat teruja kerana tidak pernah merasai pengalaman sebegini, seluruh pasukan kerja dan label juga terkejut dengan sambutan luar biasa dari pendengar.
“Saya sangat berterima kash kepada seluruh pasukan saya yang setia dan sentiasa bertungkus-
lumus dalam menjadikan album ini sebuah kenyataan, terima kasih buat En. Prem, kesemua wakil muzik dari label saya, penulis serta juga penerbit, wakil pegawai seranta saya, pihak pengurusan Virus Unggu Entertainment, rakan-rakan media, keluarga yang menyokong, dan terutamanya peminat semua, Haelers,” ujar Hael.
Antonim Part (1 & Il)
Album yang memakan masa selama 3 tahun untuk disiapkan ini telah melalui beberapa proses, diantaranya pemilihan lagu-lagu yang telah disenarai pendekkan dari lebih kurang 20 buah lagu. Di antara lagu-lagu yang terkandung dalam album ini adalah Diam, Usia, Kejora, Please, Hero dan Sama Seperti Dulu (versi orkestra).
Tambah Hael lagi, “Album ANTONIM (PART I) ini saya jadikan medan untuk berkarya tetapi konsepnya berlawanan dengan apa yang sering saya hidangkan buat pendengar sebelum ini, namun keseluruhan lagu yang terkandung di dalam album masih lagi berkonsepkan pop dengan nuansa balada serta rock.
Manakala untuk album kedua pula, ANTONIM (PART II), saya jangkakan akan ada lebih banyak lagi kejutan buat penggemar muzik saya kerana pelbagai pembaharuan yang diketengahkan.
“Saya berharap agar semua dapat menerima karya-karya saya dalam kedua-dua album ini, semoga pendengar dan penggemar muzik tempatan berlapang dada dalam menerima pembaharuan muzik serta memberi lebih kebebasan kepada anak seni untuk terus berkarya.
“Dan siapa tahu mungkin ada di antara kita yang mampu berjaya seperti Tan Sri Michelle Yeoh, tetapi mewakili bidang muzik pula.
Untuk makluman, video muzik (MV) lagu Usia yang melakukan penggambaran di Korea Selatan bakal dilancarkan pada 12 Januari 2024 boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Hael Husaini Official.
Manakala album ANTONIM (PART 1) yang sudah berada di pasaran boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox,
Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.