Wawa Shazwa Dengan Single Solo Pertamanya Bertajuk ‘Undur Diri’

Peribahasa ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu’ menyiratkan bahawa nasib dan keberuntungan seseorang seringkali tidak dapat diramalkan dan tergantung pada kehendak Allah.

Walaupun Wawa Shazwa menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan, termasuk kehilangan ayahnya, namun akhirnya dia mendapat rezeki dan kejayaan dengan pelancaran lagu solo pertamanya, “Undur Diri”. Kejayaan Wawa Shazwa yang akhirnya datang mungkin merupakan bukti dari kekuatan dan ketabahan yang dimilikinya, serta rahmat dari Allah.

Lagu “Undur Diri” ciptaan komposer, Ayu Rizki Yani dan penulis lirik, Hakim Hakimi & Te Ha yang baru dikeluarkan pada 16hb. Februari ’24 sudah pun mencapai lebih daripada 500,000 tontonan di YouTube! Sejak mula Trending untuk muzik di YouTube pada 20hb. Februari yang lalu, lagu tersebut  terus berada dalam kedudukan Top 20 Trending untuk muzik selama lebih 3 minggu! 

Wawa Shazwa atau nama penuhnya, Nor Shazwa Atiqah Shamshul, 24, melahirkan rasa syukur kerana rezeki tetap berpihak kepadanya walaupun agak lama tertangguh proses rakamannya. 

“Lagu Undur Diri lambat siap proses rakamannya kerana Wawa ambil masa agak lama juga untuk naik balik semangat untuk meneruskan kerja-kerja rakaman selepas ayah tercinta meninggal dunia tahun lalu. 

“Itu yang menyebabkan Wawa lambat untuk masuk studio dan rakam lagu Undur Diri. Sebenarnya, Abang Eddie Hamid mewakili pihak Nova Music melamar Wawa untuk buat rakaman lagu ini pada tahun 2022 selepas viral video Wawa nyanyi lagu Rembulan Malam dengan Darul Aman Buskers. 

“Lagu Undur Diri adalah lagu kedua Wawa selepas Buat Insan Tersayang, duet bersama Ahmad Syafiq pada 2022. Buat Insan Tersayang adalah lagu yang pernah dipopularkan oleh Ashira dan Abang Eddie Hamid dulu.

“Sebenarnya, berdebar juga bila dapat lagu Undur Diri sebab ini kali pertama Wawa nyanyi secara solo. Rasa teruja dan agak berdebar juga tapi Wawa sudah cuba buat yang terbaik,” katanya. 

Berkongsi pengalaman di dalam studio sewaktu proses rakaman, Wawa yang menetap di Gurun, Kedah berkata, ketika itu beliau ditemani oleh kedua ibu bapanya. 

“Mula rakaman pukul 9 malam, dan habis lebih kurang pukul 1 pagi di Studio Nar Kuala Lumpur. Waktu itu, mama dan abah memang struggle tunggu Wawa sampai selesai rakaman. Wawa nampak mereka punya effort sanggup korban masa mereka untuk tunggu Wawa. 

“Masa pergi studio untuk buat rakaman, Wawa masih lagi bekerja sebagai pembantu farmasi. Wawa ambil cuti untuk buat rakaman single solo pertama, memang excited. 

“Pekerjaan Wawa sekarang selain menyanyi adalah sebagai pembantu klinik yang terletak di Gurun, Kedah dekat tempat Wawa tinggal,” katanya yang selesa mendendangkan lagu Dato’ Sri Siti Nurhaliza setiap kali membuat persembahan. 

Wawa yang gemar genre pop balada itu berkata, sebelum menjalani rakaman di studio, beliau tidak mengikuti mana-mana kelas vokal selain mendapat tunjuk ajar daripada anggota Darul Aman Buskers saja. 

Peserta program ‘Mentor Milenia’ 2019 ini juga menjelaskan yang lagu “Undur Diri” tidak ada kena mengena dengan kehidupan peribadinya. 

“Lirik lagu ini umum, bila orang dengar lagu ini, mereka yang ada perasaan kecewa dan duka itu akan dapat rasakan lagu itu ada kena mengena dengan hidup mereka,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu. 

Wawa berharap lagu “Undur Diri” ini dapat melonjak namanya dalam bidang seni walaupun tahu impiannya tidak semudah yang dijangka. 

“Nak melonjak naik tidak semudah itu tapi kadang-kadang ada juga anak seni yang menggapai kejayaan sekelip mata dah boleh popular. Tapi bagi Wawa tak apa ambil masa juga tapi Wawa percaya pada rezeki. Andai lagu Undur Diri ini boleh menaikkan nama Wawa, alhamdulillah,” katanya penuh harapan. 

Lagu “Undur Diri” kini boleh distrim di kesemua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Video lirik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos di pautan ini https://www.youtube.com/watch?v=_nm3kRSdqYk

Leave a Comment