Tag: #MalaysianMusic

  • “MASIHKAH ADA RASA ITU?” PENUTUP PENANTIAN EMPAT TAHUN MISHA OMAR.

    Sebagai seorang penyanyi yang mengutamakan kejujuran dan kecemerlangan dalam mencipta karya, Misha Omar sangat berhati-hati serta teliti dalam memilih lagu untuk memastikan hasil karyanya diterima oleh ramai, dan mampu kekal relevan dan berdaya tahan sepanjang masa.

    Lantaran itu, penyanyi kelahiran Kelantan berusia 42 tahun tersebut tidak pernah sesekali mengeluh, meskipun terpaksa menanti lama kerana percaya, penantian panjangnya itu bukan sesuatu yang sia-sia.

    Hampir empat tahun tanpa single terbaru selepas kemunculan Tanpa Rela pada Ogos 2020, kelahiran Masihkah Ada Rasa Itu? merungkai segala keresahan dan persoalan peminat yang sentiasa mendambakan buah tangan terbaru daripadanya.

    Bakal diperdengarkan kepada umum di semua platform muzik bermula 1 Mac 2024, Masihkah Ada Rasa Itu? menyaksikan Misha kembali bekerjasama dengan komposer Sharon Paul yang pernah mencetus fenomena menerusi Sampai Bila, enam tahun lalu.

    “Kesempurnaan sesebuah komposisi tidak semata-mata bergantung kepada kekuatan melodi dan lirik, malah penghayatan penyanyi turut memainkan peranan penting untuk membawa lagu tersebut terus ke depan.

    “Sebagai penyanyi yang sudah lama berada dalam industri, peminat sedia maklum akan kekuatan dan kekurangan saya. Justeru, saya mencari sebuah karya yang dapat membantu dan pada masa sama, menyerlahkan lagi kekuatan serta kematangan saya.

    “Sepanjang empat tahun itu, saya berusaha mencari di samping mengkaji keberagaman lagu pop yang dihasilkan penyanyi lain untuk disesuaikan selera peminat masa kini. Bertitik tolak dari situ terlahirnya Masihkah Ada Rasa Itu?,” katanya.

    Sinonim dengan karya balada, Misha bersama Sharon dibantu Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal berusaha menyuntik sedikit nuansa baharu dalam gaya penyampaiannya tanpa sesekali membelakangkan identiti yang sudah sebati dengan dirinya.

    Misha menyifatkan Masihkah Ada Rasa Itu? yang liriknya ditulis oleh Que Afiq dan ia juga merupakan hasil kolaborasi bersama dua syarikat rakaman yang amat gah di Malaysia, Sony Music Entertainment Malaysia dan Alternate Records Sdn Bhd menjadikan karya itu lebih ringan dari sudut penceritaannya berbanding karya terdahulu seperti Bunga-Bunga Cinta, Pulangkan dan Sampai Bila.

    Namun, akui Misha, Masihkah Ada Rasa Itu? tetap menuntut penghayatan emosi tersendiri, sekali gus memberinya cabaran baharu kerana perlu bijak mengimbangi permainan rasa ketika menyampaikan lagu tersebut.

    “Misha Omar dikenali ramai sebagai penyanyi balada yang sarat emosi. Tetapi, Masihkah Ada Rasa Itu? pula menuntut saya menjadi sebaliknya apabila memerlukan saya untuk mengakali emosi tatkala menyampaikan lagu itu supaya tidak terlalu larut dalam perasaan.

    “Lagu ini membawa pendengar terkenang perkara yang sudah berlalu, namun masih belum dilepaskan sepenuhnya. Saya bersyukur dengan bantuan Syafinaz, tuntutan lagu itu dapat saya sampaikan dengan baik,” katanya.

    Akur ramai pasti mengharapkan kolaborasi terbarunya bersama Sharon itu mengulangi pencapaian cemerlang yang dilakar Sampai Bila, Misha bagaimanapun enggan dirinya dibebani harapan besar itu.

    “Saya bukan seorang yang cerewet, malah tidak pernah sesekali memberi tekanan kepada Sharon untuk menghadirkan magis dalam ciptaannya. Saya realistik, malah sentiasa percaya, kejayaan sesebuah karya turut berkait rapat dengan rezeki.

    “Apa yang dapat saya katakan, sentuhan Sharon mempunyai satu sisi yang dapat menyentuh hati sesiapa yang mendengar lagu ciptaannya. Sebagai komposer, Sharon sangat istimewa kerana mempunyai kelebihan itu,” katanya.

    Berterima kasih kepada Sharon yang banyak memberinya dan Syafinaz kebebasan dalam mewarnakan cara penyampaian Masihkah Ada Rasa Itu?, Misha mengakui, berdepan debaran yang sukar diungkapkan ketika melangkah ke studio rakaman.

    Dia sentiasa berasakan dirinya seperti kali pertama memasuki studio rakaman, meskipun sudah terbiasa dengan suasana ketika proses rakaman berlangsung.

    “Saya seperti berada dalam dewan peperiksaan penting kerana proses merakamkan lagu baharu membentangkan pengalaman dan perjalanan berbeza untuk setiap penyanyi.

    “Sharon dan Syafinaz banyak membantu mententeramkan perasaan saya sepanjang proses rakaman berlangsung. Sebagai komposer, Sharon begitu memahami dan sentiasa memberikan kata-kata semangat.

    “Situasi itu mengingatkan saya supaya sentiasa berpijak di bumi nyata. Saya tidak pernah anggap diri sebagai yang terbaik. Malah, kekurangan yang ada mendesak saya supaya sentiasa memburu dan menggali ilmu untuk terus memperbaiki diri,” katanya.

    Masihkah Ada Rasa Itu? bakal menjadi lagu tema drama bersiri, Wanita Syurga lakonan Redza Rosli, Siti Khadijah Halim, Riena Diana dan Nazim Othman yang akan menghiasi slot Akasia di TV3 atau saluran 103 jam 7 malam dan platform penstriman, iQIYI jam 8 malam, satu jam selepas siaran TV3 sepanjang Ramadan nanti.

    ‘Masihkah Ada Rasa Itu?boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform muzik seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music.

  • Perjalanan Menuju Dewan Filharmonik dengan NUKILANMU

    Perjalanan Menuju Dewan Filharmonik dengan NUKILANMU

    Keterlibatan Arish Mikael dengan teknologi muzik modern sangat ketara dalam “Nukilanmu.” Penggunaan alat dan aplikasi inovatif menciptakan elemen unik dalam produksi, menunjukkan evolusi teknologi dalam menghasilkan karya seni dalam industri muzik.

     

    Arish Mikael, yang berasal dari Muar, Johor, telah menapak dalam dunia muzik sejak usia remajanya. Pada tahun 2018, semasa masih berada di tingkatan 3, beliau memulakan perjalanan muziknya dengan busking di pelbagai tempat. Walaupun ketika itu beliau belum mengambil muzik secara serius, Arish Mikael mulai menulis lagu-lagu yang penuh makna dan emosi.

     

    Pada saat yang sama, nasib baik melanda diri Arish. Ketika beliau sering dibandingkan dengan Allahyarham Sudirman Hj. Arshad dIsebabkan suara beliau yang sangat mirip dengan penyanyi lagenda tersebut, Arish diberikan peluang emas untuk mengunjungi Luncai Emas dan bertemu dengan Dato’ M.Nasir dan pelbagai pengeluar muzik yang terkenal. Perbualan santai mereka membawa kepada satu peluang luar biasa yang akan mengubah hidupnya.

     

    Antara lagu terawal yang beliau cipta, Nukilanmu merupakan karya yang sangat penting dalam perkembangan muzik Arish Mikael. Beliau berkongsi, “Lagu ini menceritakan tentang sesiapa saja dalam hidup yang mencetuskan inspirasi kepada diri.” “Radzlan selaku penulis lirik lagu ini, terlibat dengan hampir kesemua lagu yang saya cipta buat masa ini. Lagu ini terlahir semasa saya berada dalam tempoh dipengaruhi karya-karya Melayu seperti SM Salim, Ahmad Jais, M. Nasir, Loloq dan sebagainya, walaupun sebelum itu saya telah terdedah dengan muzik-muzik barat.” kongsi Arish pula tentang maksud dan inspirasi di sebalik lagu ini.

    Mengenai proses rakaman Nukilanmu Arish Mikael berkongsi, “Satu pengalaman yang baru dalam produksi muzik kerana dapat bekerja atau rakam dalam studio yang lengkap bersama pemuzik yang lebih ramai. Semestinya ada rasa kekok, sebab sebelum itu saya sudah terbiasa merakam demo sendiri dalam bilik tidur tanpa melibatkan telinga, citarasa, idea atau sudut pandangan orang lain. Jadi ini satu proses yang sangat baik. Tambah pula dengan kehadiran pemuzik yang berbakat seperti Hidayat daripada kumpulan Pitahati, dan Izzat daripada kumpulan Ramayan. Tanpa mereka, projek ini tak akan berseri.”

     

    Namun, pencapaian terbesar dalam kariernya adalah peluang unik yang diberikan kepadanya untuk tampil di Dewan Filharmonik Petronas KLCC untuk mendendangkan lagu-lagu Allahyarham Sudirman sebagai penghormatan atau ‘tribute’ kepada penyanyi tersebut. “Diberi peluang dan kepercayaan untuk membuat persembahan bersama salah satu orkestra terbaik di Malaysia, adalah sesuatu yang luar biasa. Saya rasa bersyukur dapat bekerjasama dengan barisan penyanyi dan pemuzik yang handal walaupun di fasa awal kerjaya saya ini. Rasa teruja dan gementar, tetapi dengan penerimaan yang baik dari masyarakat, itu adalah penghargaan yang besar buat saya.” luah beliau.

     

    Menurut Ilham, selaku penyanyi kumpulan Pitahati & A&R Luncai Emas – “Nukilanmu adalah nukilan yang bakal mewarnai skena nostalgia.”

    Arish Mikael berharap bahawa pelancaran lagu Nukilanmu ini akan menjadi batu loncatan untuk perekmbangan kerjayanya dalam dunia muzik. Dia mengajak semua peminat muzik untuk terus menyokong karya-karya muzik tempatan yang penuh bakat dan potensi. “Semoga ianya menjadi langkah pertama yang memperkukuhkan perjalanan saya dalam dunia muzik. Teruskan menyokong muzik-muzik tempatan.”

    Nukilanmu kini tersedia untuk dimuat turun dan diputar di pelbagai platform muzik. Jangan lepaskan peluang untuk mendengar puisi yang mendalam ini, yang dipersembahkan oleh Arish Mikael dalam gaya folk pop nostalgia yang memukau.