ROCK NEVER DIES Semangat Rock Terus Membara dengan 20 Lagu Baharu

Sebanyak 20 lagu baharu daripada 20 band muzik yang berpaksikan genre rock kini membuktikan semangat memperjuangkan muzik rock tersemat kukuh dalam jiwa setiap anggota band. Antara band yang terlibat termasuk MELISSABAND, ROOTS N BOOTS, LEMON T, THE ALIF FT MARIONEXXES, BAHTERA, MEDITASI, SONS OF ADAM, THE VOLTAGE, SENNA, X-TERNAL, ZUBIRA, KOROKODEL, CROSSOVER, BUMANTRA, THE FLOW, XNERGY, BURNTARA, EXIT, SPIT IT OUT TIME, dan MANUSIA.

Menariknya, semua karya baharu ini dimuat dalam kompilasi album “ROCK NEVER DIES” yang diterbitkan oleh FGI Entertainment dan dipromosikan oleh Melissa Record. Album ini telah berada di pasaran sejak awal bulan Jun, dijual sendiri oleh setiap band yang terlibat. Sehingga kini, ia telah melebihi sasaran awal cetakan dengan hampir 800 keping CD dan pendrive terjual!

Oleh itu, satu majlis Sidang Media untuk mengumumkan bahawa album “ROCK NEVER DIES” telah berada di tangan peminat muzik rock tempatan diadakan pada malam Ahad, 30 Jun 2024. Majlis ini ditaja oleh Restoran Asam Pedas London di Bandar Baru Selayang, yang menyediakan lokasi dan hidangan. Acara ini turut diserikan dengan kehadiran Dato Awie, vokalis band Wings, sebagai perasmi, serta wakil pemimpin DUN Taman Templer Selayang yang sentiasa menyokong perkembangan seni hiburan secara sihat di kalangan masyarakat.

WhatsApp Image 2024 07 02 at 19.08.18 1

Dalam ucapan perasmiannya, Dato Awie menzahirkan rasa terharu kerana dapat hadir dan menyokong perjuangan muzik “ROCK NEVER DIES”. Beliau turut menyebut tentang penyertaan mereka yang lama dalam industri seperti Abg Lord dan lain-lain. Dato Awie bersyukur kerana kehadirannya di majlis itu membantu merealisasikan impian sahabat lamanya, Ajak Melissa, yang tetap bersemangat meneruskan perjuangan muzik Melissa Band meskipun sering dilanda pelbagai isu dan kontroversi. Sebelum mengakhiri ucapan, Dato Awie sempat menitip nasihat kepada pelapis baharu agar sentiasa fokus pada matlamat dalam bidang muzik dan “kena rajin prektis”.

Majlis malam itu turut disertai semua anggota 20 band terlibat, termasuk dari negara jiran Singapura. Hampir 200 tetamu hadir termasuk jemputan khas dari kalangan pemain media selain pempengaruh media sosial yang sinonim dalam perjuangan muzik rock tanah air.

Di majlis yang sama itu juga, turut diumumkan KONSERT ‘ROCK NEVERDIES’ bakal diadakan pada 10 Ogos 2024 bertempat di WARISAN HALL STUDIO. Tiket dijual pada harga RM50 setiap satu. Tempahan tiket sudah boleh dibuat menerusi band- band yang bakal beraksi di pentas konsert hari berkenaan.

Leave a Comment