PESTA BOLA MERDEKA 2023: PERLAWANAN AMAL UNITI BAKAL MERIAHKAN KARNIVAL BOLA SEPAK

NUR9733

CHERAS, 7 Oktober 2023 – Suasana Stadium KLFA Cheras, Kuala Lumpur berubah menjadi kemeriahan semasa berlangsungnya Perlawanan Amal UNITI sempena Karnival Pesta Bola Merdeka 2023. Ini bukanlah sekadar pertandingan, tetapi juga satu momen penting dalam menyebarkan nilai-nilai perpaduan melalui sukan bola sepak.

Dalam perlawanan ini, beberapa wira bola sepak negara telah bersatu dengan Selebriti serta ahli Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM). Di kalangan wajah-wajah terkenal yang turut serta termasuklah Mubik Mokhtar, Nizaruddin Yusof, K Gunalan, Shahrin Majid, Azizon Abdul Kadir, Hardi Jaafar, Shahril Arshad, Ramli Junid, Malek Rahman, Ismail Ibrahim, dan banyak lagi.

Pasukan Selebriti dan SAM turut memeriahkan perlawanan ini dengan penyertaan pemain-pemain seperti Haji Zainal Abidin Rawop, Abu Bakar Atan, Izhar Hatan, dan banyak lagi.

NUR0138

Tidak hanya itu, YBhg. Datuk Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara turut hadir dan beraksi bersama pasukan selebriti/ SAM bagi menambah semarak acara ini. Perlawanan amal ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kementerian Perpaduan Negara bersamasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Perlawanan Amal Uniti ini mengambil tema ‘Bola Sepak Menyatukan Kita’, yang bertujuan untuk menggabungkan masyarakat Malaysia melalui penyertaan lagenda bola sepak negara. Ini juga menjadi acara pra-karnival bagi mempromosikan Karnival Uniti Pesta Bola Merdeka 2023 yang akan berlangsung pada 13 – 17 Oktober 2023 di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Karnival Pestabola Merdeka 2023 ini bukan sahaja menawarkan perlawanan bola sepak yang mengujakan tetapi juga pelbagai aktiviti menarik seperti acara larian, berbasikal, kejohanan penalti, kejohanan bola sepak jalanan, persembahan kebudayaan, dan banyak lagi. Orang ramai turut berpeluang untuk menyertai aktiviti ‘Stadium Tour’ sambil merakam kenangan bersama Piala Pesta Bola Merdeka.

Jangkaan lebih 100,000 pengunjung dari seluruh negara akan hadir memeriahkan karnival in selama lima hari berlangsung. Semangat patriotik dan semarak perpaduan masyarakat Malaysia yang terpancar melalui sokongan kepada pasukan Harimau Malaya dalam dua perlawanan menentang India pada 13 Oktober dan bakal beraksi di perlawanan akhir pada 17 Oktober nanti, memperlihatkan bahawa bola sepak benar -benar memiliki kekuatan untuk menyatukan kita semula.

Karnival Pesta Bola Merdeka 2023 adalah acara yang menggabungkan sukan, hiburan, dan semangat perpaduan, membuktikan bahawa bola sepak tidak hanya permainan, tetapi juga jalan untuk menyatukan hati rakyat Malaysia.

NUR0070

Leave a Comment