Netherlands Maritime University College (NMUC) dengan bangganya mengumumkan penganjuran Persidangan Antarabangsa mengenai Logistik Maritim dan Pelabuhan (ICMLP) 2024. Acara berprestij ini akan berlangsung dari 3 hingga 5 September 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
ICMLP 2024 dianjurkan bersama oleh NMUC, Port Training Institute (PTI) of the Arab Academy for Science, Technology & Maritime Transport (AASTMT), STC International, MY Iskandar Sdn Bhd (MISB) dan Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT). Persidangan ini dijangka menjadi platform utama bagi para profesional, inovator dan pakar industri maritim dari seluruh dunia untuk berkumpul dan bertukar pandangan mengenai trend terkini, amalan terbaik, dan cabaran yang dihadapi dalam bidang logistik maritim, pengurusan pelabuhan, pengurusan rantaian bekalan dan pengangkutan.
Fokus Utama Persidangan
Sepanjang tiga hari persidangan, para peserta akan berpeluang menyertai pelbagai sesi menarik, termasuk pembentangan, perbincangan panel dan sesi interaktif yang meliputi pelbagai topik penting. Antara topik yang akan dibincangkan termasuklah kemajuan teknologi, rangka kerja peraturan, kelestarian alam sekitar, kerjasama strategik, strategi kewangan, dan pembangunan modal insan. Pakar-pakar terkemuka akan berkongsi pandangan dan pengalaman mereka, memberikan perspektif berharga mengenai keadaan semasa dan masa depan industri logistik maritim dan pengurusan pelabuhan.
Kepentingan Logistik Maritim
ICMLP 2024 menekankan kepentingan logistik maritim yang cekap, mampan dan berdaya saing dalam memacu perdagangan global, pertumbuhan ekonomi dan kesalinghubungan pasaran. Persidangan ini akan membincangkan bagaimana industri maritim boleh menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam teknologi, peraturan dan permintaan pasaran, serta bagaimana untuk mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.
Acara Khas
Selain sesi persidangan, ICMLP 2024 juga akan menampilkan beberapa acara khas yang menarik. Antaranya ialah majlis makan malam ‘Networking Dinner’ dan pelayaran istimewa menaiki ‘Cruise’ mengelilingi Tasik Putrajaya. Acara-acara ini memberikan peluang kepada para peserta untuk berinteraksi secara santai, menjalin hubungan perniagaan baru, dan meneroka peluang kerjasama dalam suasana yang lebih santai.
Pameran
Seiring dengan persidangan, pameran juga akan diadakan, memberikan peluang kepada syarikat-syarikat dan organisasi untuk mempamerkan produk, perkhidmatan dan inovasi terkini mereka. Ini adalah platform yang ideal untuk berhubung dengan bakal pelanggan, rakan kongsi dan pelabur.
Seruan untuk Penyertaan
Semua pihak yang berminat untuk mendalami ilmu dan perkembangan terkini dalam bidang logistik maritim dan pengurusan pelabuhan dijemput hadir ke ICMLP 2024. Ini adalah peluang yang tidak harus dilepaskan untuk bertemu dengan pakar-pakar industri, berkongsi idea dan pengalaman, serta meneroka peluang kerjasama baru.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari laman web rasmi ICMLP 2024 di icmlp.nmuc.edu.my.