Hari ini, Bank Rakyat meraikan 17 pemenang utama kempen yang dijalankan sejak penghujung 2023 hingga Jun 2024, termasuk kempen ‘Tulus Ikhlas, Penuhi Impian, Cabutan Setengah Tahun Akaun Pelaburan-i Rizq Plus serta Emas 2 Kilo’. Majlis penghargaan ini berlangsung di Menara Kembar Bank Rakyat.
Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, menyatakan bahawa keempat-empat kempen tersebut menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM1.3 juta kepada 415 orang pemenang yang merupakan pelanggan setia Bank Rakyat.
“Sejak tujuh dekad lalu, Bank Rakyat komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan hubungan dengan pelanggan melalui nilai tambah serta ganjaran istimewa menerusi kempen khusus untuk pelanggan,” kata Dato’ Dr. Mohammad Hanis.
Beliau turut menambah, inisiatif ini bertujuan menghargai kesetiaan pelanggan yang terus menyokong produk dan perkhidmatan Bank Rakyat setiap tahun.
Bersempena dengan sambutan Ramadan dan Syawal yang lalu, Bank Rakyat menganjurkan kempen Tulus Ikhlas dari 12 Mac hingga 31 Mei 2024, di mana pelanggan berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik dengan jumlah keseluruhan bernilai lebih RM400,000.
Puan Siti Sarah Sayip dari Yong Peng, Johor, pemenang tempat pertama kempen Tulus Ikhlas, membawa pulang Proton X90. Tempat kedua dimenangi oleh Encik Che Shariful Huzir Che Saari dari Kuantan, Pahang yang memenangi Proton X70, manakala Encik Muhammad Farid Farhan Fazlee dari Kangar, Perlis memenangi Proton X50.
Selaras dengan aspirasi ‘Keluarga Madani’, Bank Rakyat juga menganjurkan kempen Penuhi Impian untuk membantu merealisasikan impian peribadi pelanggan. Kempen ini menunjukkan komitmen Bank Rakyat sebagai institusi perbankan yang mengutamakan keperluan pelanggan.
Dianjurkan dari 15 Disember tahun lalu hingga 29 Februari 2024, kempen ini memenuhi impian 10 pelanggan dengan jumlah keseluruhan RM177,000. Antara impian yang direalisasikan termasuk mengubah suai kediaman dan dapur, membiayai pakej perkahwinan, menambah baik ruang kedai, serta perusahaan ladang ternakan dan tanaman.
Pada hari yang sama, Bank turut mengumumkan pemenang Cabutan Setengah Tahun Akaun Pelaburan-i Rizq Plus, di mana hadiah utama RM100,000 dimenangi oleh Encik Anuar Abdul Ghani dari Kuantan, Pahang. Sejak pelancaran produk ini pada Julai 2022, 2,961 pemenang telah terpilih, termasuk empat pemenang hadiah RM100,000 dan seorang pemenang hadiah RM1 juta.
Kempen Emas 2 Kilo, yang berlangsung dari Oktober tahun lalu hingga Februari 2024, dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang menyokong perniagaan Ar-Rahnu dan menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan perkhidmatan Pajak GadaiAr-Rahnu.
Kempen bertema ‘Gadai dan Menang’ ini, yang telah memasuki tahun keenam sejak dilancarkan pada tahun 2018, menawarkan hadiah keseluruhan dua kilogram emas bernilai RM637,000 kepada lebih 270 pemenang. Hadiah utama berupa 500 gram emas bernilai RM150,000 dimenangi oleh Puan Faridah Matt dari Pokok Sena, Kedah.
Encik Mohd Suhairy Abd Rahman dari Ampang, Selangor memenangi tempat kedua dengan hadiah 100 gram emas bernilai RM35,000, manakala Puan Aminah Alias dari Langkawi, Kedah memenangi tempat ketiga dengan hadiah 50 gram emas bernilai RM20,000.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, menyatakan bahawa Bank Rakyat sentiasa komited untuk berada di barisan hadapan dalam menyediakan perkhidmatan perbankan yang cemerlang dan penyelesaian kewangan yang inovatif, terutama ketika mendekati ulang tahunnya yang ke-70 pada 28 September 2024.
“Komitmen Bank terhadap transformasi dan kecemerlangan terbukti melalui pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Dari produk pembiayaan, simpanan, pelaburan, hingga perancangan kewangan yang komprehensif, kami berusaha memenuhi keperluan dan aspirasi pelanggan kami,” kata beliau.
Datuk Mohd Irwan turut menambah, “Bank Rakyat sentiasa berinovasi untuk memastikan tawaran kami kekal relevan dan bermanfaat untuk pelanggan yang kami hargai. Perkhidmatan perbankan kami direka untuk memberikan kemudahan dan kecekapan, memastikan keperluan perbankan harian pelanggan dipenuhi dengan pantas dan mudah.”
Untuk senarai penuh pemenang, pelanggan boleh merujuk laman sesawang rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my.