Alternate Records dan Universal Music Malaysia Cungkil Bakat Baharu

Dua label berkolaborasi sebagai rakan strategik dalam pemasaran muzik tempatan! Gabungan antara syarikat rakaman muzik tempatan, Alternate Records, dan syarikat rakaman bertaraf antarabangsa, Universal Music Malaysia, dijangka membawa perubahan besar dalam industri muzik tempatan serta membuka peluang baharu untuk artis tempatan memperluas pengaruh mereka di peringkat domestik, serantau, dan global.

Kerjasama antara Alternate Records, yang terkenal dengan pendekatan inovatif dan kreatif dalam penerbitan muzik, dan Universal Music Malaysia, yang terkenal dengan rangkaian artis ternama, mewujudkan satu anjakan paradigma dalam industri muzik tempatan. Gabungan kepakaran dari dua syarikat rakaman ini diharapkan dapat memenuhi selera penggemar muzik.

Menurut Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, kerjasama dengan syarikat rakaman tempatan yang berjaya adalah penting untuk mencungkil bakat baharu dan menghasilkan pelbagai genre muzik. “Sebagai syarikat rakaman antarabangsa, kami percaya bahawa kerjasama dengan syarikat rakaman tempatan seperti Alternate Records adalah penting untuk perkembangan industri muzik tanah air. Dengan menggabungkan kepakaran kedua-dua pihak, kerjasama ini akan meningkatkan keupayaan kami dalam memahami selera tempatan dan menggalakkan inovasi serta kepelbagaian dalam industri muzik,” kata Kim Lim.

Tambah Kim Lim lagi, “Bagi kami, yang penting bukanlah dari mana asal artis tersebut, tetapi bagaimana muzik mereka berhubung dengan pendengar dan sesuai dengan visi yang kita bina bersama.”

Kim Lim menyatakan bahawa kerjasama ini adalah tepat, dengan menyebut kejayaan Alternate Records & Talents dalam pasaran muzik masa kini. “Alternate Records & Talents telah mencungkil bakat dan menghasilkan beberapa artis, lagu, dan runut bunyi yang menonjol. Pengumuman kerjasama ini adalah langkah pertama untuk kedua-dua syarikat rakaman berganding bahu mengembangkan lebih ramai bakat hebat dalam industri muzik Malaysia,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, antara artis yang telah dan akan memulakan projek kerjasama ini termasuk Marsha Milan, Rahmad Mega, Puteri Khareeza, Sonaone, Ernie Zakri, Bella Astillah, dan Ezra Kairo. “Ini adalah beberapa artis yang akan bekerja rapat dengan Alternate Records, dan kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan mereka dalam lebih banyak projek yang akan datang,” tambah Kim Lim.

Puan Shahila Shah Harun, Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Filem, Muzik dan Kandungan Rancangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, menyatakan kegembiraannya ketika mengumumkan kerjasama dengan Universal Music Malaysia ini. “Kerjasama antara Alternate Records dan Universal Music ini adalah langkah strategik untuk meluaskan pengaruh artis tempatan. Dengan sokongan Universal Music, kami yakin dapat menghasilkan karya berkualiti tinggi yang mampu menembusi pasaran muzik,” katanya.

Tambah Puan Shahila Shah lagi, “Alternate Records dan Universal Music mempunyai barisan artis berbakat dan kami akan memberi sokongan penuh dari segi promosi, produksi, dan pengedaran. Ini adalah permulaan era baharu dalam industri muzik Malaysia, membuka peluang kepada artis sedia ada dan bakat baru yang mencari platform untuk menonjolkan potensi mereka. Usaha sama ini akan memfokuskan kepada pengeluaran muzik yang berani, segar, dan relevan dengan kehendak pasaran semasa.”

Dengan pengumuman ini, industri muzik Malaysia akan membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri untuk membawa muzik Malaysia ke tahap lebih tinggi. Kolaborasi dan pertukaran idea ini akan menghasilkan sinergi unik yang mendorong perkembangan budaya muzik Malaysia di peringkat domestik, serantau, dan global.

Industri muzik Malaysia semakin diminati dan dihormati di persada serantau dan antarabangsa, membuka lembaran baharu untuk insan kreatif Malaysia melalui platform yang lebih berdaya maju dan berprestij.

Leave a Comment